Pertanian diperluas, sambut baik inisiatif Pasar Rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Aktiviti pertanian negeri untuk 2017 terus diperluaskan bagi menjana pertumbuhan ekonomi golongan petani dan peladang di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, ini termasuklah inisiatif menubuhkan pasar rakyat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri.
 
“Kita menyambut baik apabila Datuk Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menggesa PBT untuk wujudkan pasar rakyat di seluruh negeri.

“Ini secara tidak langsung, petani dan pekebun kita boleh memasarkan hasil tani tanpa menggunakan orang tengah.

“Keberkesanannya, kaedah ini mampu menjana pertumuhan ekonomi golongan petani dan peladang di seluruh negeri,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas inisiatif pembentangan Belanjawan Selangor 2017 terhadap peruntukan sektor pertanian negeri.

Mohamed Azmin dalam pembentangannya semalam berkata, pembangunan pasar rakyat diyakini mampu membantu meningkatkan jaringan ekonomi petani negeri.

“Kerajaan negeri mencadangkan pembangunan ‘Pasar Rakyat’ untuk menemukan pengeluar produk yang terdiri dari petani dan peniaga dengan pengguna tanpa khidmat orang tengah.

“Selain daripada kemudahan, prasarana dan reka bentuk moden, pasar ini juga dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan harian rakyat seperti kemudahan perbankan dan khidmat pos.

“Pembangunan Pasar Rakyat mesti dimulakan seawal 2017 dengan menggunakan peruntukan pembangunan PBT masing-masing,” katanya.

Share on Myspace