Rumah: Tiada mekanisma lepas kuota Bumiputera

HARAKAHDAILY | .

SHAH ALAM: Pada masa kini, kerajaan negeri menggunapakai ‘Blue Print’ Perumahan Negeri Selangor sebagai panduan dalam menetapkan peruntukan kuota Bumiputera di dalam sesebuah pembangunan.  

"Peruntukan kuota Bumiputera ini mengambil kira faktor penempatan penduduk, ekonomi semasa serta aktiviti sosial setempat di samping penganalisian terhadap kedapatan tanah-tanah berpotensi yang boleh dibangunkan," kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar negeri itu berkata, peruntukan kuota Bumiputera bagi sesebuah pembangunan itu adalah di antara 30% hingga 70% mengikut kawasan.

Walau bagaimanapun, katanya keputusan akhir penetapan kuota Bumiputera adalah tertakluk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Tambahnya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam proses penyediaan kajian semula ‘Blue Print’ Perumahan tersebut dan dijangka siap dan diguna pakai pada Tahun 2018.
 
Menurutnya, peruntukan kuota Bumiputera pada penjualan rumah Selangorku juga berpandukan kepada ‘Blue Print’ Perumahan Negeri Selangor.

"Namun begitu, keputusan akhir dalam memperuntukkan kuota Bumiputera bagi rumah Selangorku adalah tertakluk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)," ujarnya semasa menjawa pertanyaan ADN Andalas, Dr Xavier Jayakumar pada persidangan Dewan Negeri Selangaor (DNS), hari ini.

Tambahnya, buat masa ini tidak ada satu mekanisma bagi pelepasan kuota Bumiputera untuk Rumah Selangorku.

Namun, jelas beliau dalam kes- kes tertentu, terdapat kaedah di mana bagi pemaju yang telah menerima senarai nama bakal pembeli selepas 6 bulan dari tawaran nama pertama dilaksanakan atau sekurang-kurangnya 3 kali tawaran nama daripada LPHS adalah di benarkan membuat penawaran terbuka.

Katanya, syarat kelayakan pemohon diberikan kelonggaran di mana pemohon secara individu berpendapatan tidak melebihi RM10,000.00 sebulan dan pemohon sahaja tiada pemilikan kediaman dan bukan diambilkira bersama pasangan berbanding dengan penetapan proses penawaran biasa/merit.

Jelasnya lagi, pemaju boleh membuat permohonan untuk kelonggaran syarat melalui proses penawaran terbuka kali kedua sekiranya masih terdapat unit yang tidak terjual di mana syarat ditetapkan adalah pemohon secara individu berpendapatan tidak melebihi RM20,000.00 sebulan dan pemohon yang telah mempunyai pemilikan kediaman adalah dibenarkan.

Walau bagaimanapun, kata Iskandar syarat pertimbangan untuk permohonan itu dibenarkan sekiranya kemajuan kerja di tapak telah mencapai 70% siap.

Pada masa yang sama, katanya LPHS melalui Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) akan menilai serta membeli unit- unit berkaitan dan hanya akan disewakan ataupun dijual kepada pembeli melalui Program Dana Sel.

Menurutnya lagi, LPHS melalui PHSSB telahpun membeli 100 unit Rumah Selangorku di kawasan Klang yang dijangkakan siap pada Tahun 2018.

Beliau menambah, sekiranya masih juga terdapat unit yang tidak terjual, pemaju boleh mendapatkan pelepasan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Nama Rumah Selangorku dan Hartanah Harga Kawalan di mana pemaju boleh menjual unit berkenaan kepada orang awam secara bebas tanpa dikenakan syarat kepada pemohon dari segi pemilikan kediaman atau pendapatan.  

Katanya lagi, kriteria kelayakan permohonan itu dibenarkan setelah projek siap dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) selepas tempoh 6 bulan. - HARAKAHDAILY 1/11/2016

Share on Myspace