Perkasa Pasir Salak sokong Akta RUU 355

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Sokongan yang datang dari Perkasa Parlimen Pasir Salak akan diteruskan oleh Perkasa Negeri Perak akhirnya akan dibawa oleh Presiden Perkasa yang mewakili Perkasa Pusat untuk bertemu dengan kepimpinan tertinggi PAS Pusat, demikian dinyatakan Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Parlimen Pasir Salak.

Pertemuan antara Pertubuhan Pribumi Perkasa Parlimen Pasir Salak dan PAS Perak telah diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Perak bersama Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Setiausaha Perhubungan PAS Perak, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan serta beberapa pimpinan yang lain.

Jelas beliau, sebagai entiti yang beragama Islam, usaha pindaan akta RUU 355 perlu diberikan sokongan penuh oleh umat Islam maka Perkasa Pasir Salak tampil untuk menyatakan sokongan kepada PAS.

Katanya, Malaysia adalah sebuah negara Islam bahkan agama persekutuan seperti termaktub dalam perlembagaan juga adalah Islam, sewajarnya usaha itu mendapat sokongan sebaiknya.

"Pindaan yang akan dipinda tidak akan mengganggu hak-hak orang bukan Islam cuma kami hanya perjuangkan hak orang Islam dan berharap semua pihak menghormati usaha ini," ujarnya.

Perkasa telah menyerahkan memorandum sokongan kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria. – HARAKAHDAILY 2/11/2016

Share on Myspace