RUU 355: Perjuangan adil yang dizalimi

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

PAS dihentam, dikeronyok habis-habisan, saban hari juga menelan pahit seranah dari penentang hasrat untuk agar RUU 355 yang dibentangkan oleh PAS dapat dilaksanakan. Kadang-kadang sukar dimengertikan apa sebenarnya yang ditentang, sama ada RUU 355 itu ataupun PAS, atau juga kedua-duanya sekali.

Ada yang jujur dalam bahasa menentangnya dengan mengatakan ia menentang. Ada juga kata tidak menentang tapi tidak bersetuju, ada juga yang bersetuju untuk dibahaskan tetapi belum kata untuk bersetuju atau tidak bersetuju, mungkin nak mendengar dan menilai dulu isi perbahasannya, tak mengapa, semua yang akan datang pasti akan berlaku.

Alasan untuk tidak bersetuju tetap sama sejak dulu hingga sekarang, mungkin hingga kiamat, tidak sesuai dengan masyarakat berbilang kaum, PAS terburu-buru, ini hukum ciptaan PAS, ada juga yang mengatakan dia tidak boleh bersetuju kerana selari dengan keputusan partinya untuk tidak bersetuju.

Ada juga yang berhujah 'ia bukan sahaja mesti adil tapi mesti juga dilihat adil' kalau diterjemahkan maknanya ia mengatakan RUU 355 yang dicadangkan itu tidak adil dengan alasan kerana ianya tidak turut dilaksanakan kepada orang bukan Islam. Tapi tidak pula dikatakan hukuman sekarang ini kelihatan adil atau tidak adil walaupun tidak juga dilaksanakan kepada orang Islam.

Yang bukan Islam ada yang menentang, namun tidak semua, samalah seperti yang Islam pun begitu juga. Namun bukanlah bila ada penentangan kita mesti sembunyikan, kalau disembunyikan selama-lamanya ia akan tersembunyi. Bila agaknya orang nak tahu fasal undang-undang Islam kalau kita sembunyikan.

Adil itu dapat dilihat apabila ia dilaksanakan, kalau pakai teori semata tanpa disandarkan keyakinan terhadap Allah, bimbang manusia itu sama hujahnya seperti iblis yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam, alasannya tidak munasabah ia yang diciptakan dari api mesti sujud kepada Nabi Adam yang diciptakan dari tanah.

Logik perbezaan antara api dan tanah adalah penyebab ingkarnya iblis sehingga ia lupa penciptanya adalah Allah Yang Maha Adil ('Al-Adl'), walaupun nampaknya seperti berat sebelah namun orang yang bersifat adil ialah ia akan tetap lurus di atas landasan kebenaran dan tiadalah kebenaran itu melainkan apa yang dibenarkan oleh Allah SWT. Orang yang adil pada diri dan agamanya pasti akan membenarkan agamanya meskipun manusia membencinya.

Bagi PAS tiada satupun hukum dari syariat Allah itu melainkan ianya adil, walaupun makhluk tidak melihatnya sebagai adil, kerana adil Allah itu hanya boleh diterjemahkan melalui ilmu dan keyakinan kepada Allah SWT. Hanya dengan keyakinan bahawa Allah SWT itu adalah Rabb Yang Maha Adil sahaja akan mengheret perjuangan untuk meninggikan syariat Allah.

Keadilan Allah SWT bersifat mutlak, ia tidak dipengaruhi oleh apa dan sesiapa, keadilan Allah SWT juga didasari oleh ilmu-Nya Yang Maha Luas, maka siapalah kita untuk menidakkan keadilannya walaupun hanya satu hukum dari hukum-hukumnya, terjemahan dari yakin dengan keadilannya ialah dengan memperjuangkannya, biarlah PAS dihina daripada PAS bersikap seperti tidak yakin dengan keadilan Allah SWT. - HARAKAHDAILY 2/11/2016

Share on Myspace