Darurat Kelantan: PAS diberi tempoh lima hari

HARAKAHDAILY | .

PAS DIBERI TEMPOH LIMA HARI UNTUK BUAT PENDIRIAN ISU DARURAT KELANTAN (2 NOVEMBER 1977)

PADA hari ini dalam tahun 1977, Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn telah memberikan tempoh lima hari kepada PAS, iaitu sehingga 7 November 1977, sama ada menerima keputusan Perdana Menteri untuk mendaruratkan Kelantan, dalam pertemuan antara pemimpin Umno dan Jawatankuasa Perunding PAS. Isu darurat Kelantan timbul ekoran krisis politik Kelantan yang menyebabkan Menteri Besar, Dato' Mohamad Nasir dikenakan undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Akibatnya, telah berlaku rusuhan politik di Kota Bharu dan perintah berkurung dikeluarkan pada 19 Oktober 1977.

Untuk menyelesaikan krisis ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan rundingan dengan pemimpin PAS dan mencadangkan 'Formula Dr Mahathir' atau Kelantan didaruratkan jika enggan menerima formula ini. Antara formula yang dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad ialah perletakan jawatan Menteri Besar dan semua anggota Exco Kerajaan Kelantan dari PAS dan sebuah kerajaan baru yang diketuai oleh Ustaz Nik Abdullah Arshad sebagai Menteri Besar ditubuhkan. Dr Mahathir Mohamad juga mencadangkan sebuah kerajaan sementara yang ditadbir oleh pegawai kanan Malaysian Civil Service (MCS) yang bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri ditubuhkan di bawah undang-undang darurat.

PAS Kelantan pada 29 Oktober 1977 kemudiannya telah menolak cadangan-cadangan Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya mengesyorkan supaya pegawai MCS yang dicadang untuk mentadbir negeri di bawah undang-undang darurat itu dijadikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sahaja. PAS Kelantan juga menolak rombakan seluruh anggota kerajaan dengan Menteri Besar baru yang dicadangkan oleh Dr Mahathir Mohamad kerana menganggapnya sebagai 'kerajaan patung.' PAS Kelantan mahukan sebuah kerajaan yang Menteri Besarnya dikuasai oleh parti, dan tidak mahu menerima calon-calon tajaan Umno untuk mengelakkan kelemahan pentadbiran Dato' Mohamad Nasir berulang. PAS Kelantan juga tidak mahu Kelantan daruratkan kerana ia membolehkan Umno menguasai Kelantan secara tidak demokratik.

Di sebalik pendirian PAS Kelantan ini, pada 2 November 1977, Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn telah menolak syor PAS Kelantan tentang kedudukan pegawai MCS yang dicadangkan oleh Dr Mahathir Mohamad. Beliau yang juga Pengerusi BN telah mengambil sikap untuk bertegas supaya Kelantan didaruratkan setelah Formula Dr Mahathir ditolak. PAS kemudiannya diberikan tempoh sehingga 7 November 1977 untuk memberikan jawapan ke atas keputusan Perdana Menteri itu. Dalam perjumpaan antara Dato' Hussein Onn (yang turut disertai pemimpin Umno iaitu Tengku Razaliegh Hamzah, Dato' Senu Abdul Rahman, Abdul Ghafar Baba, Datuk Aishah Ghani, Datuk Mokhtar Hashim, Datuk Mohd Adib Adam dan Datuk Mohd Ghazali Shafie) dengan pemimpinan PAS yang terdiri daripada Dato' Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Perunding PAS iaitu Dato' Ishak Lotfi Omar, Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, Wan Ismail Ibrahim, Cikgu Mohd Zain Abdullah dan Ustaz Salahuddin Abdullah pada 2 November 1977 ini, Perdana Menteri telah memilih formulanya sendiri iaitu mendaruratkan Kelantan.

Pada 4 November 1977, sebelum PAS memberikan jawapan tentang cadangan Perdana Menteri itu, Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan di Parlimen mengenai cadangan pembentangan rang undang-undang bagi mendaruratkan Kelantan. Pada 6 November 1977, Dato' Hussein Onn telah memaklumkan bahawa rang undang-undang tersebut akan dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat pada 8-9 November 1977. Keadaan ini menyebabkan pendirian PAS diminta oleh Perdana Menteri sebelum 7 November 1977 menjadi tidak bermakna lagi. Pada 7 November 1977, Jawatankuasa Perunding PAS telah menolak cadangan Perdana Menteri yang tidak menghormati PAS, dan sebelum itu, pada 6 November 1977, Jawatankuasa Kerja Agung PAS memutuskan supaya semua Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen PAS meletak jawatan untuk menentang undang-undang ini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 November 2016 - HARAKAHDAILY 2/11/2016

Share on Myspace