PAN faktor pembangkang tidak sehaluan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Profesor dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura menyifatkan pakatan pembangkang di negara ini bermasalah ekoran kewujudan serpihan PAS iaitu PAN.

Koordinator Pengajian Malaysia di universiti terbabit, Penolong Prof Dr Mohd Nawab Mohd Osman berkata masalah yang melanda pembangkang di Malaysia bukan disebabkan PAS atau DAP.

Kata beliau, PAN muncul dengan matlamat yang tidak jelas dan lebih bersifat emotif semata-mata.

“Penubuhan parti itu tidak jelas matlamatnya. Pemimpin pula tiada kredibiliti berbanding parti asal mereka yang ada ulama sebagai teras kepada perjuangan parti.

“Malah akar umbi PAS jauh lebih kuat kerana mendapat dokongan pelbagai pihak termasuk golongan muda. Sebaliknya PAN diperlihat sebuah parti Islam yang moderat,” katanya pada diskusi anjuran Institut Pemikiran Tok Guru di sini.

PAN muncul selepas bekas-bekas pemimpin utama PAS gagal mempertahankan jawatan pada muktamar 2015 sehingga membawa kepada penubuhan parti baharu.

Ketika pemilihan pada muktamar tersebut difahamkan ada gerakan bagi menumbangkan kepimpinan ulama dengan mendapat tajaan pihak luar.

Dr Mohd Nawab juga berkata, pendirian pemimpin PAN mengenai pindaan Rang Undang-Undang Akta 355 masih tidak jelas sehingga sekarang.

“Pemimpin PAN tidak berani untuk mengeluarkan kenyataan menyokong pindaan itu secara terbuka kerana dilihat lebih menjaga hati DAP,” ujarnya.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Zulkifli Mamat berkata pemimpin PAS yang dikenal pasti bermasalah sebelum ini sekarang mendapat tempat bersama PAN.

Katanya, mereka sanggup melakukan sahaja untuk dilihat orang ramai sebagai juara membawa isu rakyat.

“Kita boleh lihat isu projek Kampung Warisan di Kampung Laut, Tumpat dan isu pembalakan di Gua Musang ada pemimpin PAN yang mahu dilihat seperti wira,” katanya. - HARAKAHDAILY 2/11/2016

Share on Myspace