Tidak ikut peraturan punca sidang Dun kecoh

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Tindakan Adun PAN Salor Datuk Husam Musa tidak mengikut peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (Dun) menyebabkan berlaku kekecohan pada persidangan Dun Khamis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, persidangan Dun ada peraturannya sendiri.

“Hendak menyoal pelbagai soalan apa sekali pun kerajaan boleh terima. Tetapi soalan mesti sampai ke pejabat Speaker dalam tempoh 14 hari waktu bekerja.

“Tetapi malangnya tidak ada satu soalan pun dari Adun Salor sama ada ingin jawapan bertulis atau jawapan mulut sampai di pejabat Speaker.

“Datang pada hari akhir Dewan tiba-tiba beliau kemukakan 30 soalan serentak, ini tidak betul dari segi prosedur dewan,” katanya selepas majlis perasmian kempen kawalan kumbang merah di PCB Resort, di sini hari ini.

Pada persidangan Dun Khamis lepas berlaku ketegangan apabila Adun Salor kerap kali mencelah ketika pihak kerajaan menggulung perbahasan bajet.

Malah pada perbahasan ucapan bajet 2017 beliau banyak menyalahkan kerajaan sehingga dianggap mengambil peranan Adun Umno.

Che Abdullah juga berkata sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman Adun PAN terbabit perlu lebih bersikap terbuka terhadap setiap penjelasan diberi.

“Beliau pernah menjadi Exco, anggota Parlimen, Setiausaha Akhbar Menteri Besar dan Setiausaha Politik.

“Namun apa yang menjadi tanda tanya kenapa beliau tidak kemukakan soalan lebih awal sebagaimana dibuat Adun lain,” ujarnya.

Menurutnya juga Husam diberi peluang berucap melebihi penyokong kerajaan dan pembangkang lain. – HARAKAHDAILY 2/11/2016

Share on Myspace