Catatan Parlimen: Bermula sesi penggulungan menteri

HARAKAHDAILY | .

Setelah 6 hari sesi perbahasan Bajet 2017 peringkat dasar, hari ini bermulalah sesi penggulungan, iaitu jawapan terhadap segala isu yang dibangkitkan dalam perbahasan akan dijawab oleh pihak kerajaan. Ketika sesi perbahasan, kerajaan perlu mendengar soalan yang dibangkitkan oleh para ahli parlimen, manakala ketika sesi penggulungan, para ahli parlimen pula perlu mendengar jawapan yang diberikan oleh kerajaan.

Sesi penggulungan adalah giliran menteri untuk berucap, sekiranya ahli dewan ingin bangun mencelah bertanya, terserahlah kepada pihak menteri samada memberi keizinan ataupun tidak. Sekiranya tidak diberikan, ahli dewan yang bangun itu perlulah duduk semula. Inilah peraturan asas yang perlu diketahui dan dipatuhi oleh para Ahli Dewan.

Harapnya di Parlimen ini, tidak berlakulah seperti Sidang Dun Kelantan. Ada Adun yang bangun mempertikai Exco Kerajaan yang sedang berucap itu sama ada ini "khutbah atau penggulungan"?

Di Dewan Rakyat juga, tidak boleh berdiri secara berterusan mengganggu sesi penggulungan kerana kedegilan dan lagak hero itu akan menyebabkan ahli dewan boleh dihalau keluar oleh Tan Sri Speaker. Setakat ini, masih belum ada Ahli Dewan Rakyat yang berkuasa 10 seperti Adun di Kelantan...hehe

Parlimen hari ini bersidang sehingga jam 11.30 malam.

Pagi ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri memulakan sesi penggulungan.Antara isu yang dijawab ialah berkenaan kegiatan judi yang begitu berleluasa.

Tuan Guru Presiden PAS, Ketua Penerangan PAS dan Ketua Dewan Pemuda PAS antara yang bangun mencelah ketika TPM membuat penggulungan. Mereka bertiga juga berucap ketika sesi perbahasan Bajet dulu.

Kalau ada yang masih membuat cereka kononnya Ahli Parlimen PAS adalah kaki ponteng, duduk diam sahaja dalam dewan, saya pun tidak pasti apakah dendam kesumat mereka yang tidak habis-habis memburukkan PAS?

Tuan Guru Presiden PAS, yang merupakan Ahli Parlimen Marang ketika bangun mencelah menyebut dalam isu judi ini, tindakan mencegah itu perlu diutamakan terlebih dahulu daripada tindakan undang-undang. Beliau mencadangkan agar masyarakat, NGO dilibatkan dengan sepenuhnya dalam usaha mencegah judi ini.

Ahli Parlimen Temerloh, YB Ustaz Nasrudin pula mencadangkan agar kempen jauhi judi dilaksanakan sepertimana kerajaan melancarkan kempen jauhi rokok.

Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ustaz Nik Abduh menegur kerajaan dalam hal pemberian lesen judi kerana ia membuatkan seolah ada judi halal dan judi haram. Beliau turut menjadikan Kerajaan PAS di Kelantan sebagai contoh telah lama melaksanakan usaha membanteras judi ini dengan kuasa yang ada di peringkat negeri.

Untuk melihat apa respons jawapan oleh TPM, boleh saksikan video rakaman di channel youtube TV PAS.

Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS

Share on Myspace