Usah pilih beberapa kelemahan kritik polisi TGNA

DATUK ANUAR TAN ABDULLAH | .

SELEPAS membaca artikel yang ditulis Mohd Sayuti Omar (MSO) yang bertajuk ‘Husam Si Harimau Luka Yang Perlu di Rawat, Bukannya Terus Diusik’  ia telah memberikan ‘food for thought’ untuk saya menangani episod ini dengan perspektif dan dimensi yang lebih harmoni.

Seperti yang kita semua maklum, Mohd Sayuti merupakan seorang penulis yang dihormati Almarhum Tok Guru, apatah lagi saya yang kerdil ini untuk tidak mengambil pandangan dan nasihat beliau sebagai panduan dalam episod ini.

Pandangan Mohd Sayuti adalah amat tepat sesudah saya meneliti tindak-tanduk Datuk Husam Musa di dalam Dewan Undangan Negeri sesi ini, ucapan-ucapan beliau selepas sesi dewan serta dalam tulisan beliau akhir-akhir ini.

Saya berpandangan bahawa 'YB Dato Husam Musa hari ini bukan lagi YB Dato Husam Musa yang original’  yang saya kenali begitu lama.

Imbas kembali semasa beliau masih dalam kerajaan dan pucuk pimpinan parti, hujah beliau berfakta, bernas, fokus dan tidak pernah cuba ‘implicate’/ melibatkan orang lain yang tidak berkenaan dalam semua isu.

Bagi menghormati pandangan dan nasihat Mohd Sayuti, saya mohon untuk bagi kali terakhir untuk menjawab perkara-perkara dan isu-isu yang ditimbulkan oleh Datuk Husam dalam kenyataan balas beliau.

Saya terpaksa untuk membuat penjelasan sedemikian kerana politik itu adalah persepsi, maka apa jua persepsi negatif yang ditimbulkan perlu dijawab dengan fakta yang benar bagi membolehkan rakyat jelata menilai kembali terhadap perkara tersebut.

Isu Pertama: TLC (Ladang Getah Klon Balak)

Datuk Husam memberi maklumat melalui kenyataan balas beliau bahawa lesen-lesen terhadap 6 syarikat yang disenaraikan oleh beliau, di mana tarikh lesen berkuat kuasa di tahun 2016.

Selepas itu, Datuk Husam menggunakan hujah seperti di bawah ini untuk menyokong pendirian beliau, ‘Adakah Tok Guru yang telah meninggal dunia setahun lebih yang lalu masih ke pejabat menandatangani kelulusan itu sampai hari ini? Mustahil.

Tentu ada orang lain yang sedang meluluskannya tetapi nama Tok Guru hendak diseret. Malulah pada Tok Guru untuk YB Datuk bertindak begitu.’

1. Untuk pengetahuan semua, Almarhum Tok Guru merupakan ketua sebuah kerajaan negeri, Almarhum Tok Guru hanya mempengerusikan mesyuarat serta membuat keputusan yang terakhir ke atas kelulusan satu-satu permohonan TLC.

2. Semua lesen untuk melaksanakan program TLC yang telah diberi kelulusan dasar itu akan ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri.

3. Suka saya mengingatkan Datuk Husam, tarikh lesen berkuatkuasa yang disebutkan oleh Datuk bukanlah tarikh permohonan syarikat itu diluluskan untuk kelulusan dasarnya. Sebaliknya ia merupakan satu tarikh diberikan untuk syarikat memulakan gerak kerja mereka.

4. Contohnya selepas satu-satu kelulusan dasar diberi kepada mana-mana syarikat, syarikat tersebut perlu memenuhi syarat-syarat seperti di bawah ini sebelum lesen dikeluarkan:

a. Syarikat perlu mengecam kawasan pilihan mereka di zon TLC yang telah dikhaskan.
b. Syarikat perlu memaklumkan kawasan yang mereka pilih itu kepada Jabatan Perhutanan Negeri.
c. Syarikat perlu mengemukakan plan/peta bagi kawasan yang dipilih.
d. Syarikat perlu menyediakan plan yang tepat dan disediakan oleh juruukur yang profesional kepada Jabatan Perhutanan.
e. Syarikat perlu menjelaskan bayaran kadar premium dan pampasan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Kecil Perhutanan (JKKP).
f. Jika terdapat apa-apa rayuan terhadap kadar pampasan yang telah ditetapkan, syarikat masih diberi peluang untuk merayu dan pihak JKKP akan bermesyuarat untuk menimbangkan permohonan tersebut.
g. Pihak syarikat perlu menyediakan semua dokumen, perjanjian dan syarat-syarat kepada Jabatan Perhutanan Negeri.
h. Selepas semua bahan telah dilengkapkan oleh pihak pemohon, Jabatan Perhutanan Negeri akan membuat proses pralesen.
i. Selepas kesemuanya berjaya, baru pihak Jabatan Perhutanan Negeri akan mengeluarkan lesen kepada syarikat dan lesen itu ditandatangani Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri.

Ini bermakna begitu banyak syarat dan prosedur yang wajib dilaksanakan dari tarikh kelulusan dasar dibuat Jawatankuasa Kecil Perhutanan sehingga diberikan lesen.

Gerak kerja untuk memenuhi semua syarat dan prosedur memerlukan jangka masa yang bertahun-tahun lamanya.

Maka saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa pada zaman pentadbiran Ustaz Datuk Menteri Besar sekarang ini (2014-2016) tiada satu pun kelulusan dasar TLC yang diluluskan.

Bermakna, kesemuanya program TLC diluluskan pada zaman Almarhum Tok Guru dan disusulkan dengan lesen berkuatkuasa untuk perlaksanaan pada tahun-tahun kemudiannya.

Isu KPK (Kompleks Perkayuan Kelantan)

Dalam kes ini, ia sudah dijawab oleh Ustaz Datuk Menteri Besar semasa sesi penggulungan bahawa laporan audit yang tersebut masih belum lagi muktamad.

Sepertimana dalam kenyataan Datuk Husam sendiri di dalam kenyataan balas beliau, ‘Berdasarkan finding Laporan Audit Dalam SUK ke atas KPK itu’. Ini bermakna Datuk Husam juga tahu apa jua yang disebut di dalam kenyataan balas Datuk adalah satu ‘finding’ sahaja.

Kepada sesiapa yang mempunyai ilmu dalam pentadbiran kerajaan, ‘finding’ itu bermaksud ‘penemuan awal’ terhadap hasil kajian awal daripada audit kepada KPK dan seterusnya KPK mempunyai peluang untuk memberi penjelasan dan membela diri ke atas ‘finding’ tersebut. Inilah keadilan yang diberi kepada mana-mana agensi oleh bahagian audit.

Sebagai analogi mudah, contohnya apabila seseorang di kampung kita dituduh mencuri ayam, selepas ‘finding’nya atau pun laporan awalnya disiapkan oleh pegawai penyiasat, ia perlu diangkat ke pejabat pendakwaraya dan seterusnya ke mahkamah untuk dibicarakan.

Walau bagaimanapun, tertuduh juga diberi keadilan untuk memberi peluang bagi membela diri melalui peguamnya. Selagi kesnya belum diputuskan oleh hakim, maka tertuduh itu masih tidak bersalah.

Maka sepertimana kes KPK ini, ia masih di peringkat ‘finding’, akan sampai masanya diberi peluang untuk memberi penjelasan dan pembelaan diri.

Hanya selepas ketua audit membuat pengesahan dan menurunkan tandatangan ke atas laporan audit tersebut, ‘finding’ atau penemuan awal itu tidak boleh dijadikan satu tuduhan ke atas KPK.

Isu Ladang Rakyat

Sepertimana kenyataan Datuk Husam semalam melalui laporan audit pada tahun 2011 antara lain telah menyebabkan 5 kelemahan pengurusan Perbadanan Ladang Rakyat menyebabkan Datuk Husam mengaku sendiri beliau tidak lagi menghadirkan diri ke mesyuarat selepas itu.

Sepertimana kita sedia maklum, semua ahli lembaga termasuk Datuk Husam yang dilantik Almarhum Tok Guru merupakan anggota-anggota yang berwibawa, berilmiah dan mempunyai kepakaran masing-masing serta mempunyai visi dan misi untuk membawa kejayaan, kemajuan dan pembangunan kepada mana-mana entiti GLC (syarikat milik kerajaan) dalam kerajaan Negeri Kelantan termasuk Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Bagi setiap GLC seperti Perbadanan Ladang Rakyat, kerajaan negeri memberi penghormatan dan keyakinan kepada anggota-anggota ahli lembaga yang terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu bagi membantu membangunkan GLC. Saya yakin Datuk Husam masih ingat bahawa dalam tempoh beliau menjadi Exco, jarang sekali kerajaan negeri mencampurtangan dalam hal ehwal urus tadbir serta hal pentadbiran GLC melainkan timbulnya masalah yang cukup besar dan memerlukan keputusan di peringkat mesyuarat Exco.

Jika keadaan sebegini berlaku, satu kertas Exco dengan maklumat yang terperinci akan disiapkan untuk memaklumkan masalah tersebut di dalam mesyuarat Exco bagi mendapatkan jalan penyelesaiannya.

Selama empat penggal saya sebagai ahli Exco, jarang sekali masalah-masalah besar yang memerlukan campurtangan Exco (mesyuarat Exco) termasuklah terhadap lima perkara dan isu ladang rakyat yang disebut oleh Datuk Husam.

Lima perkara tersebut tidak pernah disediakan kertas Exco dan dibincangkan untuk menyelesaikannya.

Tidak dinafikan di mana-mana organisasi, GLC, kerajaan-kerajaan negeri bahkan negara-negara di dunia ini pasti akan timbul pelbagai masalah dan kelemahan.

Kesemua faktor ini bukanlah kelemahan dasar atau polisi, tetapi mungkin didorong kelemahan semasa proses pelaksanaan tersebut kerana ia melibatkan begitu ramai pegawai dan kakitangan bagi mengendalikan pentadbiran dan pengurusannya.

Maka tidak dinafikan akan terdapat kelemahan-kelemahan semasa pelaksanaan dan perkara tersebut perlu dibaiki dan boleh baiki sekiranya dimaklum secara berhemah.

Selama 22 tahun Almarhum Tok Guru memimpin kerajaan Negeri Kelantan, Almarhum Tok Guru telah mengilhamkan dan melaksanakan beratus bahkan beribu dasar, polisi dan program dengan jayanya untuk membangunkan Negeri Kelantan.

Pelbagai pengiktirafan telah diberikan kepada kerajaan Kelantan seperti lawatan bekas Ketua Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew ke Kelantan bersua muka dengan Almarhum Tok Guru pada tahun 2012.

Ketika pertemuan itu, mendiang Kuan Yew dengan ikhlasnya memuji Almarhum Tok Guru kerana Kelantan walaupun dengan sumber yang terhad tetapi tetap berjaya membangunkan negeri dalam aspek kerohanian dan pembangunan fizikal. Beliau menyebut begitu kagum dengan ‘the success story of Kelantan’.

Jadi saya berharap sesiapa pun janganlah memilih beberapa kelemahan untuk menjadi alasan bagi mengkritik polisi, dasar dan program Almarhum Tok Guru berbanding dengan beribu kejayaan yang telah dicapai semasa Almarhum menjadi ketua kerajaan Kelantan.

Kita semua maklum tentang kehebatan Almarhum Tok Guru yang dihormati dan disayangi masyarakat berbilang kaum dan pelbagai budaya di seluruh Malaysia.

Saya masih ingat pada hari pengebumian Almarhum Tok Guru,  boleh dikatakan seluruh rakyat telah hadir termasuklah Perdana Menteri Malaysia dan menterinya bagi memberikan penghormatan yang terakhir kepada Almarhum Tok Guru.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah saya melihat begitu ramai yang hadir ke sesuatu majlis pengebumian.

Harapan saya, agar Datuk Husam dapat menerima jawapan saya ini dengan hati yang terbuka kerana saya juga seperti orang ramai, kita semua menghormati Almarhum Tok Guru dan demi mempertahankan legasi Almarhum.

Kerajaan Negeri Kelantan mengamalkan dasar Membangun Bersama Islam sebagai corak pembangunan negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 3/11/2016

Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan

Share on Myspace