Sebelum adanya korban, segera besarkan LTSIP

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Insiden pesawat Airbus A320 Air Asia tergelincir di  Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada Selasa lalu akibat kelemahan perancangan dan tindakan kerajaan menaik taraf lapangan terbang itu, demikian menurut Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaari

Ketika membahaskan Bajet 2017 di Parlimen beliau berkata, isu menaik taraf satu-satunya lapangan terbang di negeri Kelantan sekian lama dibangkitkan oleh ahli parlimen pembangkang dan juga kerajaan negeri namun sehingga hari ini kerajaan pusat seolah-olah buat tidak tahu.

"Kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana tiada kecederaan dilaporkan berlaku. Namun insiden ini patut menjadi amaran awal kepada kita semua tentang tahap keselamatan LTSIP," katanya.

Malahan tegas beliau, kerajaan negeri dan Sultan Kelantan sendiri telah lama menggesa supaya dipercepatkan pembesaran LTSIP.

Kenyataan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) Datuk Badlisham Ghazali pada Ogos 2016, menyatakan bahawa bilangan penumpang LTSIP sekarang lebih dua juta orang iaitu melebihi kapasitinya, 1.5 juta penumpang setahun. Setiap hari lebih kurang 70 kapal terbang berlepas dan mendarat di LTSIP.

Dan beliau juga menyatakan kemajuan  pelaksanaan projek pembesaran lapangan terbang itu yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) masih di peringkat perancangan.

Pembesaran LTSIP sepatutnya bukan berada diperingkat perancangan, bahkan ianya sepatutnya telah lama dinikmati oleh semua.  

"Bahkan kejadian pesawat tergelincir semalam, membuatkan ratusan penumpang pesawat berkenaan mengalami kejutan trauma, tidak terhitung pula kerugian moral dan kewangan akibat insiden ini," tambah beliau.

Katanya, Kelantan tidak boleh setakat berbangga dengan simbol wau bulan pada syarikat penerbangan negara, namun ia juga berhak untuk memperolehi lapangan terbang yang selamat dan cekap.

"Saya menggesa Menteri Pengangkutan memberikan penjelasan secepat dan setelus mungkin berkaitan insiden ini dan memberikan jawapan atas persoalan kelambatan pembesaran LTSIP," tegasnya. – HARAKAHDAILY 3/11/2016

Share on Myspace