PAS dari kaca mata veteran berpengalaman

IZWAN ABDUL HALIM | .

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok adalah veteran yang larut penglibatan dan pengalamannya bersama PAS. Malah, mantan ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan mantan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor ini mempunyai pandangan jitu terhadap PAS dalam arena politik semasa.

HARAKAH: Perubahan dalaman yang Dr lihat pada PAS selepas dari pemilihan di Muktamar Kuala Selangor yang itu hingga berlaku ‘pembersihan’ di mana mereka yang bermasalah dan berkhianat itu akhirnya keluar?

DR DAENG SANUSI DAENG MARIOK: Pada penelitian saya sebagai orang lama dalam politik ini, saya sendiri tidak menjangka keputusan Muktamar 61 yang diadakan di Kuala Selangor itu begitu hebat tindakannya. Di mana sebelum Muktamar itu, saya melihat PAS menghadapi masalah dalaman di mana ramai pimpinan-pimpinan PAS yang semacam kurang berwala' kepada keputusan PAS dan kepimpinan PAS. Dengan sebab itu, semua kita melihat bahawa PAS ketika itu menghadapi masalah dalaman.

Tetapi Alhamdulillah, hasil daripada Muktamar 61 itu, satu tindakan dari ahli-ahli PAS, pimpinan-pimpinan peringkat kawasan dan peringkat negeri, termasuk peringkat pusat telah membuat, telah mengembalikan keremajaan PAS dengan membuat keputusan-keputusan yang begitu luar biasa. Yang kita lihat semacam atau kita lihat suatu pembersihan dalaman yang begitu berkesan, begitu teratur, sehingga selepas Muktamar itu, dilihat PAS itu bersih daripada unsur-unsur negatif dalaman dan kembali lebih remaja, lebih padu, lebih mantap, lebih beristiqamah berbanding daripada sebelum Muktamar 61 itu.

Kerana itu saya melihat dari pengalaman politik yang begitu lama, PAS selepas Muktamar 61 itu, bertambah menarik, bertambah kekuatan, bertambah perpaduan, bertambah istiqamah, dan bertambah matang di dalam melancarkan gerakan politik di seluruh negara kita. Maka saya, walaupun tidak menjangka perkembangan itu begitu hebat, tetapi saya sangat bersyukur melihat PAS lepas Muktamar itu bertambah kuat dan kukuh, dan cemerlang tindakan-tindakan dan strategi yang ianya alhamdulillah. Itulah di antaranya.

Tindakan mereka-mereka itu menubuhkan wadah dan parti baru, kemudian banyak fokus lebih menyerang PAS, adakah tindakan itu akan menggoyangkan struktur PAS ataupun mereka akan terima nasib sebaliknya?

Saya mendapati bahawa tindakan sahabat-sahabat yang keluar daripada PAS bukan sahaja keluar dengan meminggirkan diri, tetapi keluar menubuhkan parti baru. Mungkin dilihat dari segi zahirnya menjejaskan sedikit sebanyak PAS, tetapi perkembangan-perkembangan selanjutnya saya melihat bahawa tindakan mereka menubuhkan parti politik yang didokong oleh parti-parti politik lain yang kita lihat pada zahirnya ialah DAP dan PKR yang mendokong.

Maka di sini satu lagi perkembangan yang amat positif kepada PAS, iaitu perkembangan itu menjelaskan siapa sebenarnya musuh PAS, dan siapa sebenarnya orang yang bermuka-muka di dalam perjuangan PAS. Kerana itu pada saya, penubuhan PAN dan gabungan yang disebut Pakatan Harapan itu sebenarnya tidak menjejaskan PAS. Pada pandangan saya.

Tetapi akan memperkukuhkan istiqamah jemaah PAS ini bagi menghadapi perkembangan-perkembangan politik akan datang. Masa depan PAN ataupun Pakatan Harapan ini, pertama PAN ini pada hemat saya, berdasarkan daripada pengalaman yang lampau-lampau, ada kemungkinannya menerima nasib seperti serpihan-serpihan parti politik sebelumnya.

Kerana pada pandangan saya, menubuhkan parti baru yang berlatar belakangkan bangsa Melayu, di mana kedudukan Melayu di Malaysia ini tidak mampu menerima lebih daripada parti yang dominannya Melayu yang ada iaitulah Umno dan PAS. Kerana itu saya menjangkakan bahawa nasib PAN ini mungkin, nak sebut berakhir selepas Pilihan Raya ke 14 ini, dan gabungan itu sendiri pada pandangan saya, dia tidak akan hidup lama. Kerana nampak gabungan itu bukan gabungan yang memperjuangkan masa depan negara untuk mencapai masa depan yang lebih baik. Tetapi masing-masing berjuang untuk masa depan kepentingan kumpulan parti ataupun individu di dalam Pakatan Harapan ini.

Dan ini tidak mungkin berpanjangan, kecualilah hayat ini mungkin akan berpanjangan sedikit sekiranya parti baru yang ditaja oleh Dr Mahathir itu mendapat sambutan dan bergabung dengan Pakatan Harapan ini ada kemungkinan gabungan ini hayatnya akan berpanjangan sedikit sebanyak, tetapi akhirnya akan berkesudahan dengan kecundang juga. Itu pada pandangan saya.

Bagaimana Dr melihat pasukan kepimpinan baharu di bawah kepimpinan Tuan Guru Presiden PAS sesi ini?

Pasukan kepimpinan yang baru hari ini pasti banyak kekuatannya dan ada juga kekuarangan dan kelemahan dia. Maka kerana itu, pasukan kepimpinan yang ada pada hari ini, kepimpinan PAS yang ada pada hari ini perlu terus muhasabah diri dan gerakan masing-masing supaya masing-masing bertambah nilai daya tariknya dan nilai daya istiqamah dia, dan masing-masing menumpukan gerak kerja kepada dasar perjuangan PAS.

Kerana itu pada saya di dalam menghadapi situasi dan perkembangan politik, parti-parti politik yang sangat bercelaru pada penelitian kita, maka perlu kepimpinan yang ada pada hari ini betul-betul padu dan betul-betul mengamalkan kepimpinan bersepadu, bukan kepimpinan individu. Kerana itu kepimpinan yang ada pada hari ini pada pandangan saya, perlu sebarang tindakan sama ada gerak kerja ataupun kenyataan-kenyataan pada umum, perlulah diselaraskan dan perlulah disenadakan atau dengan kata-kata lain, pada pandangan saya, yang patut menjadi guru buat kenyataan biarlah tidak semua jemaah kepimpinan itu. Kenalah diatur dan disusun baik-baik supaya kenyataan-kenyataan kepada umum ini ialah kenyataan jemaah yang dikeluarkan oleh Presiden dan Setiausaha Agong.

Hendaknya walaupun saya tidak kata perkara itu berlaku, tetapi hendaknya bagi saya, pandangan saya, pimpinan itu tidak terpancing dengan isu-isu yang berbentuk provokasi dan tidak terpancing dengan bola-bola tanggung yang dilemparkan oleh lawan-lawan politik kita. Kerana kalau kita terpancing dengan bola-bola lambung yang dilancarkan oleh musuh-musuh politik kita, maka kita akan menjawab, bukan dengan perancangan dan pemikiran yang matang, tetapi kita akan terpancing dengan emosi. Maka kenyataan-kenyataan yang keluar daripada sikap dari emosi ini, dia bukan satu kenyataan yang menguntungkan perjuangan.

Jadi, kesimpulannya, saya sangat, saya sangat menyokong saff kepimpinan yang ada pada hari ini. Kekuatannya, potensi kekuatan cukup jelas, namun begitu, sebagai manusia biasa, mungkin ada kelemahan, ada kekurangan. Maka kelemahan dan kekurangan itu harus dipelajari dan dipertingkatkan untuk menjadi satu saff yang betul-betul padu, betul-betul wala', yang betul-betul beristiqamah, atau dengan kata-kata lain yang popular pada hari ini, iaitu betul-betul Berpolitik Matang dan Sejahtera.

Pandangan ataupun bacaan Dr terhadap masa depan PAS bergerak dalam politik secara bersendirian dan kini bersama dengan Gagasan Sejahtera; Ikatan dan juga, Berjasa.

PAS ini senantiasa membuka pintu untuk bersefahaman, semua individu ataupun kumpulan, semua parti politik tak kira parti politik yang dasarnya berbeza. Tetapi PAS tetap mantap iaitu “Membangun Bersama Islam” di dalam berpolitik. Atau dengan kata-kata lain, PAS di dalam membuka pintunya untuk bertahaluf ataupun bersefahaman, Islam tidak akan diabaikan. Di mana PAS tidak akan bersedia bertahaluf ataupun bersefahaman dengan mana-mana orang, mana-mana pihak, mana-mana kumpulan di dalam keadaan menjejaskan Islam.

Kalau sekiranya terpaksa terjejas Islam dengan mana-mana tahaluf, dengan mana-mana individu ini, maka PAS sangat reda dan sangat bersedia untuk bersendirian di dalam perjalanan politik.

Dan sekiranya PAS bersendirian, apakah masa depan PAS? Kepada saya, masa depan PAS itu yang pertama, saya lihat, PAS akan jelas dilihat sebagai parti yang memperjuangkan Islam secara jujur dan ikhlas. Kerana itu jujur dan ikhlas dan aktif, dia akan mempunyai daya tarik yang lebih.

Di dalam keadaan seperti ini PAS akan mendapat sambutan yang baik, bukan sahaja daripada orang-orang Islam, malah kepada orang-orang yang bukan Islam akan tertarik kepada PAS yang berpegang kepada dasar, ikhlas, jujur, amanah, adil. Dan lebih utama daripada itu apabila PAS berpegang kepada Islam, jujur, amanah, adil di dalam berpolitik, maka Allah SWT akan menurunkan pertolongan-Nya, kerana Allah sudah memberikan jaminan bahawa Islam itu Allah jamin keselamatan dia.

Jadi di sini, dua perkara yang kita harus perhatikan iaitu selama mana PAS berpegang kepada dasarnya iaitu Islam, maka Allah akan tolong, dan selama mana orang-orang PAS, pimpinan PAS, ahli PAS, bergerak berusaha terus-menerus untuk mencapai keredaan Allah di dalam memperjuangkan Islam, maka Allah akan merestui dari usaha itu insya-Allah. Yang akhirnya, kalau pun kita tidak menang, ataupun kalau pun PAS tidak menang di dunia, dia akan menang di akhirat. Kalau pun orang-orang PAS tidak mencapai kemenangan di dunia, dia pasti akan mencapai kemenangan di akhirat insya-Allah.

Tadi Dr sebut Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan oleh Tuan Guru Presiden. Jadi setakat mana Dr lihat ia memberi kesan kepada ahli PAS, kepada orang awam, kepada rakan-rakan pembangkang yang lain dan kepada kerajaan sendiri?

Dulu PAS mempunyai slogan di dalam gerak kerjanya iaitu ‘Al-Muwajahah Al-Silmiyyah’. Itu menjadi slogan PAS daripada dulu, kita ini berjuang berhadapan dengan lawan-lawan politik kita, maka kita berpegang kepada satu slogan dan kita amalkan dan hayati slogan itu iaitu ‘Muwajahah Silmiyyah’.

Di dalam slogan ‘Muwajahah Silmiyyah’ ini, ramai ahli-ahli PAS yang tidak jelas maksud ungkapan ‘Muwajahah Silmiyyah’. Maka dia bergerak di dalam slogan ‘Muwajahah Silmiyyah’ ini ada yang keras, ada yang terlalu lembut, ada yang kasar, ada yang tidak kasar, ada yang bermulut celupar, ada yang langsung tidak bermulut, ada yang pinggirkan diri, ada yang ke depan dengan begitu gagah perkasa. Jadi tafsiran ‘Muwajahah Silmiyyah’ itu tidak difahami secara jelas. Maka kepimpinan yang ada pada hari ini telah menjelaskan ‘Muwajahah Silmiyyah’ ini dengan satu ungkapan yang lebih jelas, iaitu Berpolitik Matang Sejahtera.

Jadi, Berpolitik Matang dan Sejahtera itu adalah tafsiran yang amat jelas daripada konsep ‘Muwajahah Silmiyyah’. Kerana itu, kita harus berpolitik matang, bukan berpolitik emosi, bukan berpolitik terpancing, terpancing dengan isu-isu yang dilempar oleh lawan-lawan politik kita, tetapi kita berpolitik matang. Di dalam kita berpolitik matang, kita senantiasa menjaga kesejahteraan, kesejahteraan rakyat, kesejahteraan negara, dan kesejahteraan segala tindak-tanduk yang kita laksanakan.

Untuk mencapai kesejahteraan ini, mestilah politik matang itu berdasarkan kepada akhlak mulia. Jadi, perkataan politik matang adalah politik yang dirancang, politik yang dinilai, politik yang disatupadukan oleh pimpinan dan oleh ahli-ahli PAS, dalam melancarkan politik itu, semua ahli PAS, kepimpinan dan ahli PAS itu berakhlak mulia. Dengan akhlak mulia itu menjaminlah kesejahteraan rakyat, menjamin kesejahteraan negara.

Dengan sebab itu, kiranya kita betul-betul, kita sebagai ahli-ahli PAS, benar-benar mengamalkan dan menghayati Politik Matang Sejahtera, PAS insya-Allah akan mendapat sambutan, kerana PAS akan mempunyai daya tarik lebih daripada daya tolak.

Dr, daya tarik daya tolak tadi, adakah Dr lihat orang Melayu sudah mempunyai tarikan yang kuat kepada PAS sekarang ini? Kalau belum, macam mana PAS perlu bertindak untuk menarik segment pengundi Melayu itu?

Dia begini, maksud daya tarik daya tolak ini, kadang-kadang hatta kalau kita berdakwah, kalau kita lebih, dakwah kita itu lebih banyak daya tolak, maka orang lari. Kerana itu satu ungkapan yang pernah saya baca, ditulis oleh seorang pimpinan Indonesia namanya Muhammad Nasir, Perdana Menteri pertama Indonesia selepas dia mencapai kemerdekaan. Di dalam, kalau tak salah ingatan saya, di dalam bukunya Fiqhul Dakwah, dia ada menyebutkan, sebutannya itu lebih kurang, dia kata, “Sampaikan Islam seadanya, jangan diperadakan kerana Islam itu bukan barang tiruan, dan jangan pula dilandakkan, kelak orang akan lari, takut kena tusuk.” Maksudnya, bila kita landakkan gerakan kita ini, kita duri-durikan, orang lari, ertinya itu daya tolak banyak, maka orang lari.

Kalau kita hiaskan pula lebih-lebih, kita hiaskan lebih-lebih, Islam itu kita tambahkan keindahan dia, sedangkah Islam itu memang sudah indah, tidak perlu kamu tambahkan lagi kerana Islam itu bukan barang tiruan yang perlu diindah, ditambah indah dia, memang barang ‘genuine’ yang sudah indah. Itu kalau kita laksanakan dakwah Islam sebenarnya sampaikan Islam yang sebenarnya berdasarkan kepada penyampaian kita itu penyampaian berakhlak, maka dia mempunyai daya tarik lebih.

Ketika itu, bila dia mempunyai daya tarik lebih, orang yang tidak faham Islam pun akan hendak faham, orang yang tak mahu menyokong Islam pun ingin nak sokong kerana Islam perjuangan kita mempunyai daya tarik yang lebih. Jadi, dalam perjuangan kita, kena kita terapkan di dalam tindakan kita melancarkan gerak kerja kita, mestilah kita berakhlak mulia, supaya gerakan kita itu memperjuangkan Islam, mempunyai daya tarik lebih.

Maka orang akan tertarik. Jangan sekali-kali kita bergerak memperjuangkan Islam ini tanpa akhlak. Kalau tanpa akhlak ini, maka perjuangan kita itu mempunyai daya tolak lebih, maka kita berjuanglah teruk-teruk, orang cabut lari, betul tak? Itu di dalam semua gerakan penerangan kita, tarbiyah kita, apa sahaja gerakan kita di dalam perjuangan Islam ini mestilah daya tarik lebih tapi jangan ditambah hiaskan, tidak mungkin kita memperbanyakkan daya tolak kerana kalau banyak daya tolaknya maka orang akan lari.

Termasuk orang Melayu?

Ya, termasuk. Dah tentu sebab orang Melayu pun tidak mahu Islam yang menolak, daya tolak.

Baru-baru ini ada pandangan daripada penganalisis politik, daripada pensyarah di Universiti menyatakan pergerakan PAS ini sukar dijangka, jadi apa komen Dr mengenai kata-kata ini?

Saya telah komen, ebab saya terbaca dalam facebook, ungkapan daripada seorang pensyarah Universiti, membuat ungkapan itu, saya telah membuat ulasan ketika saya membuat kenyataan di Perhimpunan Tarbawi Pemuda PAS Selangor. Saya katakan gerak kerja PAS, sebab kita, pimpinan kita sekarang ini, pertama sekali pimpinan kita memasang strategi di dalam menghadapi situasi politik ini, dia ada strategi dia, dan berdasarkan kepada strategi itu, untuk mencapai strategi itu, maka dilakukan gerakan, betul tak?

Maka saya kata, parti-parti politik yang memasang strategi dan melancarkan gerak kerja untuk mencapai matlamat strategi itu, strategi itu disusun berdasarkan kepada pemikiran sendiri, dan berdasarkan kepada situasi dan kondisi politik yang ada. Jadi strateginya itu strategi insan, maka mudah dibaca.

Tetapi strategi pimpinan PAS kita pada saya, yang membuat strategi itu, yang menyusun strategi itu ialah pimpinan-pimpinan PAS yang lebih banyak berbincang dan mendapat nasihat pandangan daripada Allah, kerana dia sembahyang tahajud, dia sembahyang istikharah, daripada hasil sembahyang tahajud dan istikharah dipadukan dengan pandangan kepala yang matang, pandangan kepala yang matang itu berdasarkan kepada situasi dan kondisi politik, disusunnya strategi, dan dilakukan gerakan-gerakan untuk mencapai matlamat strategi itu.

Maka orang yang membaca strategi yang disusun oleh manusia, maka mudah dia faham strategi. Tetapi dia tidak mudah memaham strategi PAS kerana PAS itu memasang strategi bukan sahaja pemikiran dia, tetapi bantuan daripada Allah SWT. Sebab pimpinan kita itu akrab dengan Allah, dia sentiasa berdoa kepada Allah senantiasa sembahyang hajat, senantiasa sembahyang istikharah.

Jadi, dia jadi orang yang tidak memahami ini, dia tidak boleh faham strategi PAS. Bila dia tidak boleh faham strategi PAS, maka gerakan PAS itu, dia tidak boleh faham. Semalam PAS bergerak begini, hari ini pula bergerak begini, dia tak boleh faham, kerana gerakan itu hasil daripada strategi yang disusun. Itu kedudukan dia.

Jadi, saya kata, memang orang yang tidak akrab dengan Allah, tak boleh baca strategi itu. Tapi yang orang yang beriman kuat kepada Allah dan memahami situasai politik yang ada, dia mudah faham, bahawa strategi PAS itu adalah strategi yang mempunyai daya tarik lebih, kalau boleh tak ada daya tolak dia, itu dia.

Komen Dr ataupun pandangan Dr mengenai RUU Pindaaan Akta 355 Mahkamah Syariah?

Itu termasuk di dalam ruang lingkup perjuangan PAS, dasar perjuangan PAS, iaitu Islam. Jadi termasuk di dalam Islam itu ada undang-undang, ada hukum, ada tatacara yang dikatakan Islam itu ‘Way Of Life’, ataupun tatacara hidup, ada undang-undang, ada peraturan, ada ini ada syariah. Jadi, untuk melaksanakan syariah itu, untuk melaksanakan hukum dan undang-undang itu mesti ada mahkamah. Maknanya itu alat secara langsung. Kalau mahkamahnya itu tidak sesuai dengan undang-undang dan tatacara Islam ini yang merupakan ‘Way Of Life’ itu, maka dia tidak akan terlaksana undang-undang itu. Maka perlu Mahkamah Syariah itu dimartabatkan didaulatkan, baru dia boleh menjadi wadah kepada perlaksanaan undang-undang dan tatacara syariah.

Jadi, memang PAS tidak akan meninggalkan peningkatan Mahkamah Syariah itu, sebutlah 355 ke, 3 berapa ke, tapi peningkatan martabat Mahkamah Syariah itu adalah dalam lingkungan perjuangan PAS. Kalau PAS membiarkan ataupun menolak itu, maka PAS akan menyeleweng daripada dasar perjuangan dia, sama ada orang terima, lulus atau orang tolak, maka tak lulus, itu persoalan manusia. Pada PAS, dia telah berusaha. Dan yang akan ditanya oleh Allah di dalam mencapai keredaan Allah itu Dia tak kata kamu sudah berjaya ke? Dia kata, kamu sudah usahakan ke?

Dengan sebab itu, saya terus terang saya katakan, kalau pun peningkatan Mahkamah Syariah yang dikatakan 355 itu berjaya, alhamdulillah, kalau tak berjaya pun PAS sudah berjaya dan pimpinan PAS dan ahli PAS sudah berjaya. Dan PAS tidak akan berhenti. Kalau dia berhenti ertinya dia berhenti daripada dasar perjuangan dia.

Dr, sekarang ini pengundi muda, anak muda disebabkan pelbagai masalah korupsi negara, pentadbiran yang pincang, pelbagai penyelewengan, menyebabkan anak cenderung untuk tukar kerajaan hendak pergi ke Putrajaya, tetapi tidak mengutamakan syariat, apa komen Dr?

Semangat pemuda-pemuda itu adalah positif, cumanya mestilah kita pertimbangkan ataupun ada di dalam perhitungan kita, kita nak menangani korupsi, kita nak menangani atau membanteraslah korupsi, nak membanteras salah guna kuasa, nak membanteras segala kemungkaran dan maksiat ini, pada pandangan orang yang bersemangat ini melalui kuasa.

Pada pandangan PAS pula yang maknanya pandangan yang Politik Matang, melaksanakan syariah ataupun mendaulatkan syariah, menguatkuasakan syariah diantaranya bukan sahaja menghapuskan kemungkaran, salah guna kuasa dan rasuah, tetapi membendung berlakunya benda-benda ini.

Jadi, Syariah Islam ini, dia dua hala, membendung daripada yang akan berlaku, tak berlaku, dan mengatasi apa yang telah berlaku supaya terus tak berlaku. Itu dia, syariat Islam kalau kita nak faham, itu dia syariat Islam.

Sekarang ini kita ambil misalan jenayah Hudud, ambil misalan zina, kita pergi Putrajaya, kita berkuasa, semua orang berzina, kita tangkap, kita hukum, adakah hukum yang kita laksanakan itu dapat membendung zina yang akan berlaku akan datang, ataupun gerakkan lagi, tidak akan datang? Jadi, zina akan datang semakin banyak, maka kita di Putrajaya semakin berkuasa, menghukumnya.

Jadi, kerja kita boleh dikatakan gali lubang, tutup lubang, gali lubang tutup lubang, sekarang ini kita nak tutup lubang, tak mahu gali. Macam mana kita nak tutup lubang tak mahu gali lubang? Laksanakan syariah, itu dia perjuangan PAS, perjuangan Islam.

Pandangan Dr mengenai PRU14, macam mana agaknya gambaran PRU14 nanti?

Kita boleh buat gambaran begini, tapi itu pendapat peribadi, elok-elok, PRU14 ini boleh diandaikan dua, berlaku PRU14 dengan dua gabungan parti politik, iaitu gabungan parti politik-parti politik pembangkang, gabungan parti-parti politik yang memerintah sekarang, itu satu.

Dan boleh juga berlaku gabungan parti-parti politik yang memerintah, tapi parti-parti politik pembangkang ini tidak ada gabungan ataupun ada gabungan tidak menyeluruh.

Jadi kalau gabungan tidak menyeluruh, maka besar kemungkinannya sekurang-kurangnya berlaku pertandingan tiga penjuru. Bahkan mungkin boleh empat, boleh lima, boleh enam, boleh tujuh, kalau banyak parti, calon-calon bebas. Tapi sekurang-kurangnya dia akan bertandingan, akan berlaku tiga penjuru. Kalau gabungan dua parti sahaja, gabungan dua parti, maka mungkin juga dia dasarnya bertanding dua penjuru, tetapi mungkin tiga penjuru kalau ada calon bebas, mungkin empat penjuru, mungkin lima penjuru kalau banyak calon bebas.

Tapi kekuatan berada di dua parti sahaja, ketika itu calon bebas ialah masuk kacau daun kata orang, tapi kalau tidak ada gabungan parti pembangkang ini, kalau pun ada gabungan dia tiga, ada dia kecil, tidak menyeluruh, maka berlaku sekurang-kurangnya tiga penjuru, betul tak?

Jadi, kalau dua penjuru sahaja, maka perlawanan amat sengit di antara parti yang berkuasa, gabungan parti yang berkuasa dengan parti pembangkang yang bergabung. Kalau menang, kedua-duanya berpotensi kalah, kedua-duanya berpotensi menang, betul tak? Berpotensi kalah, berpotensi menang, berpotensi berubah kerajaan, berpotensi tak berubah kerajaan, kalau dua penjuru, betul tak?

Kalau tiga penjuru, potensi kerajaan tumbang sangat-sangat-sangat minima la, ya tak? Sangat minima. Dan potensi gabungan parti pembangkang yang tidak menyeluruh itu untuk menang menumbangkan parti pemerintah itu juga sangat minima untuk menang, tapi mungkin dia jadi pembangkang kuat.

Persoalan kita, bagaimana kalau PAS jadi parti yang ketiga, tidak bergabung, dia bersendiri, apa masa depan dia selepas pilihan raya pula, ya tak? Pada saya, dia ada positifnya, dan ada negatifnya. Sebab PAS ini ada pengundi teras, betul tak, pengundi teras PAS ini biasanya pengalaman kalau ada ahli PAS, satu, katakanlah satu kawasan Parlimen ada ahli PAS 1,000, maka kita masuk pilihan raya berseorangan, maka kemungkinan biasanya dia tiga kali ganda pencapaian, ada sokongan luar daripada ahli PAS itu menyebabkan kalau ahli PAS 1,000, kita dapat undi 3,000. Itu biasanya itu, sekurang-kurangnya begitu.

Jadi, bila PAS ada potensi, ada pengundi teras, mungkin boleh kita jangkakan bahawa PAS kalau menang pun menang minima. Menang kecil.

Tetapi di dalam situasi seperti ini, ada kemungkinan orang yang menang kecil itu, dia menjadi kuasa penentu. Ada kemungkinan orang yang menang kecik, dia menjadi kuasa penentu, tunduk kepada kebijaksanaan pimpinan PAS. Kalau pimpinan PAS betul-betul bijaksana berpandukan kepada Allah SWT, maka kemenangan yang kecil itu boleh jadi penentu.

Jadi, kita kembali kepada Quran, PAS sedia bergabung, tetapi Islam ke depan. Jadi parti-parti pembangkang ini kena memahami ini PAS, tak payah pergi pujuk-pujuk PAS, kena memahami, kamu hendak bergabung dengan PAS, mengajak PAS bergabung, kena ingat bahawa PAS tidak akan melepaskan Islam, kalau kamu mahu meletakkan Islam di depan, jom kita bergabung, maka potensi kita menang menumbangkan yang berkuasa dan ada juga potensi untuk kalah, potensi itu 50-50.

Kalau sekiranya parti-parti pembangkang ini baik yang lama pun yang baru tidak bersedia menjadikan Islam itu sebagai ke depan, kedaulatan Islam itu ke depan, maka PAS bersedia menjadi kuasa penentu, masuk pilihan raya untuk menjadi kuasa penentu, itu pada pandangan saya, pandangan pimpinan saya yakin itulah juga pandangan kita ini.

Soalan terakhir, saranan ataupun nasihat Dr supaya PAS terus teguh dalam menghadapi gerakan politiknya dan persediaan memimpin masa depan.

Saya sarankan begini, yang pertama sekali kepimpinan dan ahli-ahli PAS, kita berusaha terus-menerus mempertingkatkan istiqamah kita dalam perjuangan dan mempertingkatkan nilai diri dan nilai gerak kerja kita yang berpandukan kepada hidayah dan takdir Allah. Jadi kena kita pertingkatkan, bukan sahaja kita pertingkatkan banyak sembahyang, OK, bagus, tetapi kita pertingkatkan daya kita berfikir, daya kita bergerak, daya tarik kita, kita pertingkatkan terus dan pertingkatan ini berdasarkan kepada taufik Allah dan akhlak, akhlak PAS ini perlu dipertingkatkan. Sekarang sudah ada, dan sudah meningkat, kalau dapat dipertingkatkan lagi. Bukan saya kata tak ada tau, dipertingkatkan lagi.

Yang keduanya, semua orang PAS dan pimpinan PAS mestilah senantiasa menghayati apa yang disebutkan konsep berwala', berwala' kepada pimpinan, berwala' kepada konsep perjuangan, berwala' kepada dasar perjuangan, berwala' kepada matlamat perjuangan.

Jadi dua, kita tingkatkan kualiti gerak kerja kita, kualiti diri kita sebagai orang pejuang Islam, dengan akhlak mulia, dengan istiqamah, yang keduanya kita pertingkatkan wala' kita, baru insya-Allah, Allah akan beri.

Jadi, saya tak banyak saya minta pada diri saya, tak banyak, dan mungkin permintaan pada diri saya itu menjadi permintaan juga kepada semua orang PAS, iaitu kita pertingkatkan daya tarik kita, pertingkatkan istiqamah kita melalui akhlak kita, dan pertingkatkan wala' kita kepada kepimpinan, kepada dasar perjuangan itu, kepada matlamat perjuangan, mesti kita berwala'. Apa kata Islam, kita kena ikut. Dua je, tak banyak.

Share on Myspace