Miliki rumah: Selangor pertimbang kuota ibu tunggal

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kuota milikan perumahan mampu milik, Rumah Selangorku bakal dilaksanakan kepada ibu tunggal bagi membantu golongan itu memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pelaksanannya kini dibuat berpandukan sistem permarkahan mengikut beberapa kriteria utama.

“Kita ada pemarkahan supaya golongan ini boleh mendapat rumah, selepas kita campurkan keseluruhan dan markah dibuat, individu paling tertinggi layak membeli Rumah Selangorku.

“Bagaimanapun untuk tempoh ini, kita belum ada sebarang ketetapan kuota kepada golongan ini.

“Tetapi selepas beberapa perdebatan dibuat di peringkat Dewan, cadangan bagi memberi kuota ini boleh dipertimbangkan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan di Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini, pagi ini.

Dalam perkembangan sama, sebelum ini kerajaan negeri menetapkan beberapa prosuder awal kelayakan milikan Rumah Selangorku.

Iskandar berkata, sistem pemarkahan dibuat dengan mengambil kira hasil pendapatan bulanan pemohon dan tanggungan keluarga.

Rumah Selangorku kian menjadi antara pelopor pasaran hartanah tempatan yang mula diintai untuk dimiliki rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Walaupun masih hijau dalam gelanggang perumahan juga hartanah, namun tawaran harga jualan Rumah Selangorku tidak melebihi RM250,000 seunit meyakinkan rakyat memohon menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Pesaing terdekat Rumah Selangorku adalah projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) dengan tawaran harga jualan RM300,000.

Sistem markah tentukan kelayakan

Kerajaan negeri menolak amalan meraih sokongan wakil rakyat untuk tujuan melancarkan proses kelulusan pembelian Rumah Selangor, malah sama sekali tidak laku.

Iskandar berkata, sistem permarkahan dibuat bagi menentukan individu yang benar-benar berkelayakan,

“Sokongan wakil rakyat tidak diamalkan,” katanya.

Sebelum ini, konsep perumahan Selangorku menyediakan empat jenis rumah iaitu A berharga RM42,000, B (RM120,000), C (RM180,000) dan D (RM220,000 hingga RM250,000).

Berdasarkan penyelidikan Faktor Perumahan dijalankan Institut Kajian Khazanah (KRI), Rumah Selangorku menawarkan tiga varian; Jenis B dijual pada harga RM100,000 dengan keluasan 750 kaki persegi.

Sementara itu, Jenis C dari RM150,000 hingga RM200,000 (800-1080 kaki persegi) sementara Jenis D pada anggaran harga RM220,000 hingga RM250,000 berkeluasan 1,000 hingga 1,200 kaki persegi.

Sehingga kini, daripada segi anggaran pendapatan, Rumah Selangorku menjadi tumpuan golongan berpendapatan 0 hingga RM5,000 sebulan.

Share on Myspace