Fokus tangani 84 hotspot gantian paip rosak

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Proses gantian 84 hotspot paip giat dilaksanakan di Selangor dengan menggunakan perolehan peruntukan lebih RM100 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, penambahbaikan itu dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang pembaziran air terawat seluruh negeri.
 
“Kita ambil perhatian keprihatinan anggota Dewan untuk selesaikan isu paip pecah di seluruh negeri.

“Namun, ingin kita maklumkan bahawa ada 84 hotspot gantian paip yang memerlukan perhatian dengan menggunakan peruntukan lebih RM100 juta,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan pembentangan Belanjawan Negeri 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dalam perkembangan terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata proses gantian kini dijalankan di sepanjang 400 km jajaran bagi memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan kepada pengguna tanpa berlakunya pembaziran Non Revenue Water (NRW).

Sebelum ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menanggung kerugian air tidak berhasil (NRW) sebanyak RM1.8 juta akibat kecurian air dari 1 Januari sehingga 24 Mei.

Jumlah tersebut diperoleh hasil daripada 261 notis dikeluarkan Syabas membabitkan kes kecurian air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Jumlah tersebut meliputi pengunaan air sebanyak 587,011.67 meter padu bagi tempoh sehingga Mei.

Share on Myspace