Seni mempertahan diri satu tuntutan agama

HARAKAHDAILY | .

Masyarakat Melayu Islam sudah sinonim dengan seni mempertahankan diri sehingga ia menjadi darah daging yang tidak dapat dipisahkan. Bahkan, nama-nama pahlawan Melayu yang mempertahankan ugama dan negara dari penjajah telah meniti dibibir turun temurun seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Janggut, Datuk Maharajalela, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain lagi.

Beberapa hari lepas saya sempat menghadiri majlis penutup kursus latihan parang anjuran Persatuan Seni Silat Gayong Johor. Saya rasa bertuah kerana dapat menghadiri majlis ini; khususnya pertemuan dengan Pengerusi Majlis Gurulatih PSSG Johor, Guru Jazwan Kahar yang pernah masuk dalam rancangan Fight Masters Silat, National Geographic.

Seni mempertahan diri sama ada dengan senjata atau tanpa senjata, bukan saja satu budaya yang mesti dipertahankan, bahkan ianya salah satu tuntutan agama untuk disuburkan dalam masyarakat.

Masyarakat kita selalu ditanam dengan mafhum hadis Nabi S.A.W bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Mereka lupa bahawa di sana ada hadis juga yang mafhumnya; syurga itu di bawah bayang-bayang pedang.

Bahkan juga di sana terdapat hadis; saranan Nabi S.A.W supaya mengajar anak-anak aktiviti lasak dan seni persenjataan.

Pun begitu perkara ini tidak mengambarkan Islam adalah agama ganas sebagaimana tuduhan sesetengah pihak apabila membicarakan topik jihad dan peperangan; termasuk persiapan untuk berperang.

Konsep jihad begitu luas di mana membawa erti bersungguh atau bersabar di dalam memikul tanggungjawab agama. Islam mendahulukan damai dan mengambil perang sebagai jalan terakhir.

Sekalipun Islam menyarankan umatnya untuk berperang, akan tetapi peperangan di dalam Islam mempunyai cara, kaedah, syarat dan adab-adabnya. Setiap kali Nabi S.A.W mengutuskan Sahabat-sahabatnya ke medan perang, Baginda berpesan jangan sekali-kali membunuh kanak-kanak, orang tua, perempuan dan paderi-paderi di dalam rumah ibadah mereka.

Di saat umat Islam dilabel sebagai pengganas; sebenarnya mereka adalah mangsa keganasan. Sekitar tahun 1990-an umat Islam di Balkan menjadi mangsa keganasan Serbia sehingga mengorbankan lebih dari 200,000 nyawa. Umat Islam di Palestin termasuk Kristian menjadi mangsa keganasan Regim Zionis dari tahun 1948 sehingga sekarang. Puluhan ribu umat Islam Arakan di Myanmar menjadi mangsa keganasan fanatik Buddha yang tidak berkesudahan.

Sesetengah pihak di Barat menuduh Islam tersebar dengan pedang. Walhal realitinya kebanyakan negara yang dibuka oleh Islam adalah dengan jalan dakwah. Tidak dengan peperangan seperti wilayah nusantara yang mempunyai jumlah umat Islam paling ramai. Malah sejarah membuktikan sebaliknya berlaku apabila tentera Sepanyol mendarat di wilayah Amerika Selatan, mereka memberikan kata dua kepada penduduknya; sama ada kamu menerima pedang kami atau kamu menerima ugama kami.

Islam sendiri menyuruh kita mempertahankan agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Bermakna Islam memadukan jasad dan roh agar kekuatan tersebut dimanfaatkan kepada lima kepentingan yang dinyatakan itu.

Kerana itu para pengamal seni mempertahankan diri jangan terheret oleh dogma ketakutan dan pasif lantaran tuduhan-tuduhan seperti ini. Sedangkan kalian berada di satu martabat jika meletakkan niat ilmu persilatan yang ditimba untuk agama. Tidak mudah mempersiapkan jasad dan roh seperti yang dilakukan anggota seni mempertahankan diri.

Oleh itu, kekal dan teruskan ia menjadi ilmu yang diwarisi atas semangat dan tuntutan ugama dengan dipersiapkan penuh kesungguhan (jihad). Abaikan tuduhan-tuduhan yang memanah, sebaliknya amalkan secara benar mengikut ajaran Islam dan menurut disiplin diterapkan. Kerana di sebalik segala rekayasa memburukkan ugama ini, hakikatnya Islam adalah agama yang tertegak dengan hujah nyata dan jelas di mana ia lebih tajam dari mata-mata pedang.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua DPPM
3 Safar 1438 / 3 November 2016 - HARAKAHDAILY 3/11/2016

Share on Myspace