Sedia berunding, tapi bukan dengan PH & DAP

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: PAS sentiasa terbuka dan bersedia berunding dengan mana-mana parti politik, namun bertegas dan tetap dengan pendirian bahawa perkara itu terkecuali ke atas pihak yang ada rekod buruk dalam sejarah hubungan bersama PAS.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa PAS tidak membuat Pusingan-U dan tiada keputusan baharu yang merubah ketetapan tersebut.

“Sebagaimana Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebut semalam, perbincangan PAS adalah dengan parti yang tidak kacau rumah tangga PAS. Yang media sebut akan ada kerjasama dengan Pakatan Harapan; itu laporan media, bukan kenyataan Presiden PAS.

“Saya ikuti video itu semalam dan jawapan beliau pendek sahaja. Beliau sebut jangan kacau rumah tangga PAS. Itu (perundingan) merujuk kepada parti-parti yang tidak kacau rumah tangga PAS. Jadi kita tahu siapa (parti) yang ‘kacau’,” ujarnya.

Penjelasan tersebut sebagai membetulkan siaran pihak media yang melaporkan PAS sedia berunding dengan semua parti pembangkang termasuk Pakatan Harapan dan DAP untuk memastikan berlakunya satu lawan satu menentang BN pada PRU akan datang.

Ustaz Nik Abduh turut membetulkan laporan media yang memetik ungkapan seumpama oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin sebagai perundingan dengan semua pembangkang termasuk Pakatan Harapan dan DAP.

Jelas beliau yang juga anggota Majlis Syura Ulamak PAS, kenyataan Tuan Guru Hashim itu adalah secara umum di mana PAS secara asasnya bersetuju untuk berlakunya pertandingan satu lawan satu.

“Beliau (Mursyidul Am) tidak merujuk (perbincangan itu) kepada Pakatan Harapan, media yang tambah begitu. Isu DAP kita sudah jawab dahulu, kita tidak akan berunding dengan DAP,” tegas beliau dengan menyatakan bahawa strategi PRU14 termasuk perkara yang tidak harus didedahkan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyatakan bahawa soal jemputan Pakatan Harapan ke konvensyen gabungan itu pada 12 November depan perlu dirujuk kepada pentadbiran parti. – HARAKAHDAILY 4/11/2016

Share on Myspace