20 tahun memperkasa siasah, tarbiah & dakwah di Sarawak

MUHTAR SUHAILI | .

SEJARAH PAS SARAWAK: 20 TAHUN MEMPERKASA TARBIAH, DAKWAH DAN SIASAH DI BUMI KENYALANG

ALHAMDULILLAH, puji dan sanjungan adalah hak Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat hamba-hambaNya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada Rasulullah SAW, manusia yang diutus Rabbnya sebagai pemberi dan penunjuk arah, pembawa berita gembira, pemberi peringatan dan penyeru kepada agama Allah dengan izinNya.

“Andai perjuangan ini mudah pasti ramai yang menyertainya. Andai perjuangan ini singkat pasti ramai yang istiqamah. Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia pasti ramai yang tertarik padanya. Akan tetapi hakikat perjuangan bukan begitu. Turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga,” demikianlah cebisan kata Imam Hassan Al-Banna sebagai pedoman dan motivasi perjuangan.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah Gerakan Islam yang mengambil pendekatan muwajahah silmiyah dengan menyertai senario demokrasi negara dalam bentuk parti politik. Matlamatnya ialah untuk memperbaiki susunan serta institusi masyarakat, budaya politik, keadilan ekonomi, kesaksamaan sosial dan sistem bernegara bersesuaian dengan dasar Islam. Dasar PAS ialah ISLAM, Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR dan tujuannya ialah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaannya.

Kerajaan Islam pernah wujud dan berkuasa di tanah air Bumi Kenyalang tercinta ini. Kerajaan Brunei Darussalam dan Kerajaan Sarawak Darul Hana pernah memerintah negeri ini. Kemudiannya ia dijajah oleh Rajah Putih generasi Keluarga Brooke selama 100 tahun dari 1841-1941. Jepun menyerang Sarawak pada 1941 dan menguasainya sepanjang Perang Dunia Kedua. Selepas itu Jepun dikalahkan pada tahun 1945 dan Sarawak diserahkan kepada Kerajaan British pada 1 Julai 1946. Sarawak kemudiannya menyertai Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Ali Imran, ayat 104: “Hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebajikan, menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah golongan yang mencapai kemenangan.” Mengambil semangat dan atas faktor motivasi ayat Al-Qur’an inilah, maka lebih 20 tahun yang lepas PAS berusaha bersungguh-sungguh untuk memulakan langkah, menanam benih dan melebarkan sayapnya ke Bumi Kenyalang.

PAS adalah sebuah wadah yang percaya kepada syura dan musyawarah yang mana hala tuju dan jalan ke hadapannya ditentukan oleh keputusan kolektif jamaah. Antara tarikh-tarikh penting bagaimana PAS berkembang ke Sarawak ialah pada 25 Mei 1990 pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-36 di Taman Melewar telah bersetuju dengan usul PAS kawasan Tawau supaya PAS berkembang ke Sarawak. Pada 31 Disember 1994 pula, Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat telah memutuskan untuk berkembang ke Sarawak dan mengarahkan penubuhan Jawatankuasa Protem PAS Sarawak.

Pelbagai perbincangan dan brainstorming telah diadakan dalam kalangan pencinta Islam yang berkhidmat dan berada di bumi Sarawak pada masa tersebut. Sebahagiannya melihat perlunya PAS tidak dizahirkan dan bergerak hanya sebagai gerakan dakwah sahaja di Sarawak. Manakala sebahagian lagi melihat perlunya PAS untuk dipersada dan ditonjolkan sebagai gerakan massa memperjuangkan 3 serangkai iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah (politik). Apa yang pasti, kesemuanya ingin melihat gerakan Islam bertapak di bumi Sarawak.

Jawatankuasa Protem PAS Sarawak kemudiannya dibentuk yang terdiri dari gabungan Muhajirin dari Semenanjung Malaysia (orang Sarawak sebut orang Melaya) dan Ansar yakni anak tempatan. Allahyarham Ustaz Mansur Haji Din yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Sheikh telah diamanahkan sebagai Penasihat dan Pesuruhjaya Penaja, manakala Cikgu Mohamad Shokri Ahmad Fauzi dan Haji Morshidi Haji Sebli masing-masing telah diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 dan 2 Penaja. Ahli Majlis Tertinggi Penaja termasuklah Saudara Wan Kamri Wan Kamaldin (Setiausaha), Ustaz Mohd Aidil (Bendahari), Saudara Abdul Malik Haji Moshidi (Ketua Penerangan) serta 6 orang Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) iaitu Puan Rokiah Daud, Ustaz Awang Abdul Rahman, Ustazah Sharifah Hanim Omar, Ustaz Dzulfakor Ali Mustapha, Saudara Mohamad Han dan Saudari Siti Marwan Mohd Latif.

Seterusnya, pada 22 September 1996, PAS Sarawak secara rasminya telah ditubuhkan dengan perlantikan Cikgu Mohamad Shokri Ahmad Fauzi sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak yang pertama. Beliau merupakan anak tempatan yang pertama diberi amanah untuk memimpin PAS di Sarawak.

Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS) pada tahun 1996 terdiri daripada Saudara Wan Kamri Wan Kamaldin (Timbalan Pesuruhjaya 1 merangkap Setiausaha), Saudara Ali Abdul Fata Khalid (Timbalan Pesuruhjaya 2), Saudara Azman Sebli (Bendahari), Saudara Abdul Malik Haji Morshidi (Ketua Penerangan) serta 6 orang AJK termasuklah Saudara Hamid Ahmad, Saudara Khalik Abdul Hamid, Saudara Abdul Karim Abdul Rahman, Ustazah Wan Fatimah Safiya, Saudari Morniatie Jamie dan Ustazah Sharifah Hanim Omar yang mana majoritinya merupakan anak tempatan.

Selain itu, Haji Hasan Salleh, Ustaz Mohamad Zain dan Dato’ Zakaria Abdul Rahman antara nama yang sinonim di Sarawak pada ketika tersebut. Antara penggerak PAS Sarawak yang awal juga termasuklah Ustaz Abi Hurairah, Ustaz Ishak Abdul Rahman, Saudara Abang Abdul Raini, Saudara Arbi Mahdi, Saudara Rashidi Hassan, Ustaz Salman Hisham, Saudara Jafer Sadiq, Ustaz Rahmat, Ustaz Ahmad Ramli, Saudari Azalina Azam serta ramai lagi pejuang PAS tanpa nama yang ikhlas di sebalik tabir turut menyumbang kepada perkembangan PAS di Sarawak.

Demikianlah PAS terus bertatih dan berkembang dengan pimpinan yang silih berganti, gabungan tua dan muda, profesioanal dan agamawan, lelaki dan wanita serta anak tempatan dan perantau. Ia merentas masa dengan 4 orang Pesuruhjaya sehingga kini iaitu Cikgu Mohamad Shokri Ahmad Fauzi (1996-2003), Allahyarham Tuan Haji Adam Ahid (2003-2009, 2010-2015), Ustaz Othman Mustapha (2009-2010) dan kini Tuan Haji Jofri Jaraiee (bermula September 2015).

Tidak dilupakan juga jasa pimpinan tertinggi PAS Pusat yang turut bersama-sama dalam memberi tunjuk ajar dan nasihat ke arah penubuhan PAS Sarawak termasuklah Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Almarhum Tuan Guru Dato' Fadzil Muhammad Noor, Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Almarhum Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik, Ustaz Dato’ Hj. Hussen Awang, Ustaz Abdul Halim Arshat, Dr. Hatta Ramli, Pak Subky Latif dan ramai lagi. Semoga Allah menerima segala amal jaariah mereka, taqabbalallahu minna wa minkum. Allahumma Aamiin.

“Islam datang dalam keadaan asing, dan ia akan kembali asing sebagaimana kedatangannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (ghuraba’) itu.” Hadith Riwayat Imam Muslim ini adalah seperkara yang sangat relevan untuk dihayati dan diambil sebagai motivasi dalam perjuangan menegakkan syiar Islam khususnya di bumi Sarawak.

Jika kejayaan PAS hanya diukur berdasarkan kemenangan kerusi Pilihanraya, maka PAS Sarawak dikira belum berjaya. Meski telah menyertai tanpa putus asa 4 kali Pilihanraya Umum (PRU) bermula tahun 1999 (P.174 Batang Sadong), 2004 (P.200 Batang Sadong), 2008 (P.201 Batang Lupar) dan 2013 (P.197 Kota Samarahan, P.200 Batang Sadong, P.206 Tanjung Manis, P.207 Igan dan P.218 Sibuti) serta 4 kali Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak bermula tahun 2001 (N.07 Samariang, N.18 Sadong Jaya dan N.21 Beting Maro), 2006 (N.24 Beting Maro), 2011 (N.03 Tanjung Datu, N.15 Muara Tuang, N.20 Sadong Jaya, N22 Sebuyau dan N.24 Beting Maro) dan tentunya terkini di 11 kerusi DUN dalam PRN Ke-11 2016 yang lalu (N.4 Pantai Damai, N.7 Samariang, N.16 Muara Tuang, N.24 Sadong Jaya, N.27 Sebuyau, N.29 Beting Maro, N.60 Kakus, N.67 Jepak, N.70 Samalaju, N.72 Lambir, N.74 Pujut).

“Bergeraklah ke gerbang jasa, Kalah menang bukan alasannya, Sucikanlah niat dihati, Hingga nyata benarnya janji Rabbi!” Ini adalah salah satu rangkap dalam Lagu Rasmi PAS - Berjihadlah. Sesungguhnya inilah uniknya PAS, ia bukan parti politik semata-mata sepertimana parti-parti politik yang lain yang ada dalam negara ini.

Ia adalah Gerakan Islam yang komprehensif dan menyeluruh. Ini jelas sebagaimana dinyatakan di bahagian muqaddimah (pendahuluan) dalam Perlembagaan PAS, seperti berikut: “Bahawa dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan Al-Amru bil Ma'ruf wan Nahyu 'anil Munkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)".

Allahyarham Ustaz Haji Hassan Shukri semasa hayatnya kerap menerangkan di dalam ceramah atau kuliyyah beliau bahawa PAS juga merangkumi sebuah gerakan dakwah, gerakan massa dan gerakan kebajikan selain parti politik. Di dalam buku “Ke Arah Memahami Perlembagaan PAS”, beliau telah menegaskan bahawa;

“Terdapat sebahagian ahli PAS dan orang ramai yang keliru dengan penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PAS telah ditubuhkan atas tuntutan Islam. Selain daripada tuntutan dakwah dan tuntutan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, para alim ulamak dan cendekiawan Islam yang awal telah bersependapat dalam memutuskan perlunya wujud sebuah Harakah Islam di negara yang tidak menjalankan hukum Islam dan negara yang tidak menjamin keselamatan aqidah serta kebajikan umat Islam. Walaubagaimanapun, PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu-satunya wasilah semata-mata untuk menyampaikan risalah Islam. PAS bukan sahaja terlibat dengan politik tetapi juga dalam ekonomi, pendidikan, kebajikan, hubungan antarabangsa dan kemasyarakatan.”

Bertitik-tolak dari sinilah, maka aktivis PAS Sarawak dari masa ke semasa terus berusaha memahamkan masyarakat dan memandaikan anak watan tentang agenda Islam yang syumul. Antara kejayaan yang telah berjaya dilaksanakan oleh PAS di Sarawak melalui pelbagai sarana termasuklah:

1.PAS KAWASAN: Kini sudah terdapat 11 PAS Kawasan berdaftar dari 31 Kawasan Parlimen di Sarawak berbanding hanya satu PAS Kawasan sepuluh tahun yang lepas. 11 PAS Kawasan yang telah didaftarkan tersebut ialah Petra Jaya, Santubong, Kota Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Sibuti dan Limbang. Hampir kesemua PAS Kawasan ini memiliki Markaz dan/ atau Pusat Khidmat.
 
2.TARBIYAH: Jika pada awalnya PAS Sarawak diasaskan oleh amilin dari Semenanjung, kini semakin ramai anak-anak tempatan dikaderkan dan ditarbiyah menjadi Ahli PAS. Bahkan pimpinan utama negeri, dewan-dewan dan kawasan-kawasan kini dianggotai oleh majoriti anak-anak Sarawak yagn terdiri dari golongan professional muda, agamawan, ahli perniagaan, aktivis dan sebagainya. Semoga lebih ramai nembiak Sarawak akan menyertai perjuangan PAS.
 
3.PENDIDIKAN: Antara produk pendidikan PAS di Sarawak yang semakin mendapat tempat ialah kewujudan 34 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di seantero negeri dan terus berkembang. Selain itu, antara ikhtiar pendidikan lain termasuklah usaha mewujudkan Sekolah Rendah Intergrasi Teras Islam (SRITI), Pusat Pengajian Islam, Pusat Iqra’, Maahad Tahfiz dan lain sebagainya. PAS komited untuk menyediakan pendidikan berteraskan Islam bermula dari awal kanak-kanak sehingga dewasa. Semoga Allah permudahkan dalam menggapai cita-cita membangunkan pendidikan bersepadu dari PASTI hingga Universiti.
 
4.DAKWAH, KEBAJIKAN DAN KEMASYARAKATAN: Sementara di bidang dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan, PAS terus mengorak langkah melalui pelbagai wasilah termasuk usaha islah dalam kalangan masyarakat Islam dan usaha dakwah kepada masyarakat yang belum Islam. Ini termasuklah program-program dakwah bil lisan (ceramah-ceramah), dakwah bil hal (dakwah dengan sikap dan tauladan), program turun padang bersama masyarakat, program mesra anak muda selain pembangunan infrastruktur seperti Surau, Pusat Dakwah dan sebagainya.

Atas segalanya, semoga kita semua terus thabat dalam melaksana dan melangsungkan matlamat perjuangan. Sama-samalah kita menghayati firman Allah SWT di dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 200 khususnya dalam menghadapi ranjau, mehnah dan tribulasi:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai  kemenangan).”

Buat akhirnya, marilah kita hayati motto hidup sahabat yang hebat ini. Beliau sentiasa membawa motto yang mana sepanjang hari Abu Ayyub al-Anshari radhiyallahu ‘anhu sering mengulang-ulang suatu ungkapan yang diangkat menjadi motto kepada dirinya. Bersamalah kita menjadikan kata-kata ini sebagai salah satu motto hidup dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Pasti ada kebaikannya dunia dan Akhirat, in shaa Allah.

Inilah motto hidup beliau yang sangat tinggi nilainya: Infiru khifafan wa tsiqalan (انـفـروا خـفـافـا و ثـقـالا) …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah… (Surah At-Taubah, ayat 41).

Ayuh jadikan solat, ibadah, hidup dan mati kita semata-mata kerana DIA Yang Maha Segala-galanya. Allahu Akbar! – HARAKAHDAILY 4/11/2016
 
Penulis merupakan AJK PAS Pusat dan Setiausaha PAS Negeri Sarawak.

Share on Myspace