Tukar atau baiki sistem apungan harga runcit petrol

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa Kerajaan agar memperbaiki sistem apungan harga petrol untuk jualan runcit yang digunakan sekarang atau menukar terus sistem tersebut dan digantikan dengan sistem yang lebih baik untuk digunapakai. Sistem yang digunakan sekarang seolah-olah tidak relevan dengan harga pasaran semasa minyak mentah dunia yang menjadi tanda aras harga runcit petrol di dalam negara.

DPPM berpendapat sistem apungan harga petrol untuk jualan runcit yang digunapakai sekarang mengelirukan dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat setiap kali berlaku turun naik harga runcit petrol. Kekerapan kenaikan dan penurunan yang berlaku banyak menyebabkan rantaian kenaikan harga barangan serta perkhidmatan yang menimbulkan kemarahan dan keresahan rakyat dikala ketidaktentuan ekonomi negara.

Setiap kali berlaku kenaikan harga runcit petrol, akan ada rantaian kenaikan harga berlaku seperti kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan. Namun apabila berlaku penurunan harga, tiada langsung berlaku penurunan harga barangan dan perkhidmatan yang dinaikkan sebelumnya. Akibat ketidakstabilan harga runcit petrol, cetusan rantaian akibat dari itu cukup mencengkam kehidupan rakyat dari segenap sudut yang sememangnya sudah terhimpit.

Kenaikan dan penurunan harga runcit petrol yang tidak sekata dengan harga pasaran minyak mentah sedunia yang menjadi tanda aras, turut menimbulkan keraguan dan kemarahan di kalangan rakyat. Harga yang tidak sekata di dalam negara dan pasaran semasa dunia menimbulkan prejudis sama ada kerajaan benar-benar meletakkan harga sebenar mengikut harga pasaran atau hanya perkiraan mudah yang hanya menguntungkan sebelah pihak.

DPPM berpendapat sudah sampai masanya Kerajaan merombak semula sistem apungan harga runcit petrol sedia ada secara total atau mengkaji kaedah dan sistem baru yang lebih sesuai bagi menetapkan harga runcit petrol. Pada masa yang sama, kerajaan juga disarankan untuk mengkaji semula dari segi struktur perniagaan hiliran untuk produk-produk petroleum seperti petrol RON 95/97 dan gas petroleum cecair (gas memasak) bagi tujuan domestik yang memberi kesan secara langsung kepada pengguna domestik bagi memastikan pengguna sasaran mendapat faedah semaksima mungkin bagi memastikan ia bersesuaian dengan taraf hidup di kawasan masing-masing.

Penyelesaian hendaklah bersifat menyeluruh dan holistik bagi memastikan isu ini tidak terus membelenggu masyarakat dan golongan kelas pertengahan dan bawahan. Kaedah pengapungan terkawal ini hanyalah langkah sementara memandangkan harga pasaran minyak dan ekonomi dunia kini tidak lagi menentu dan tidak ada tanda-tanda yang ia akan berakhir dalam masa terdekat ini.

Biarlah ia kaedah yang lebih tepat, relevan serta lebih sesuai dengan keadaan semasa dalam negara dan harga pasaran semasa minyak mentah dunia. Jadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, bukan hanya hendak memperolehi keuntungan semata-mata.

“Bertekad Melebar Muafakat"
 
"Inilah Penyelesaian Kita”

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
4 November 2016 / 4 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 4/11/2016

Share on Myspace