Kepemimpinan baru PAS pasca pengunduran Asri

MOHD FADLI GHANI | .

KEPEMIMPINAN BARU PAS DIBENTUK PASCA PENGUNDURAN ASRI (4 NOVEMBER 1982)

PADA hari ini dalam tahun 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membentuk kepemimpinan baru PAS yang diketuai oleh ulamak bagi memulihkan semula organisasi PAS ekoran perletakan jawatan sekumpulan pimpinannya selepas 23 Oktober 1982. Pembentukan saf kepemimpinan baru PAS secara simboliknya telah memulakan era kepemimpinan ulamak dalam PAS, sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan parti yang berlarutan sejak 1980 sehingga membawa kepada pertembungan pengaruh dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-27 pada 17-19 April 1981. Kali terakhir PAS diketuai oleh ulamak ialah di bawah pimpinan Prof Dr Burhanuddin al-Helmy sebelum beliau ditahan ISA pada 28 Januari 1965.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda yang menerima tekanan kuat dari para perwakilan yang mewakili ahli akar rumput PAS telah bertindak meletakkan jawatannya sebagai pemimpin utama PAS pada 23 Oktober 1982. Turut meletakkan jawatan kemudiannya ialah sekutu rapat Dato' Mohd Asri Haji Muda iaitu Ustaz Dato' Abu Bakar Umar (Setiausaha Agung PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah), Haji Hassan Mohamad (Bendahari Agung PAS), Ustazah Datin Sakinah Junid (Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat) dan Wan Ismail Ibrahim (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Dengan perletakan jawatan lima orang pemimpin utama PAS ini telah menyebabkan PAS mengalami perpecahan kepemimpinan yang besar untuk kali kedua selepas krisis kepemimpinan pada 1977 yang membawa kepada tertubuhnya Berjasa.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang membincangkan masalah perletakan jawatan mereka dan langkah-langkah penyelesaiannya pada 4 November 1982, telah memutuskan untuk menerima semua perletakan jawatan tersebut dan melantik saf kepemimpinan yang baru. Oleh kerana Setiausaha Agung PAS, Dato' Abu Bakar Umar telah mengisytiharkan dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-28 bahawa Ustaz Haji Yusof Abdullah Rawa menjadi Pemangku Yang Dipertua Agung PAS mengikut Fasal 22(8) Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977, ekoran penerimaan muktamar terhadap perletakan jawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda, maka jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS juga turut mengalami kekosongan. Jawatankuasa Kerja Agung PAS kemudiannya melantik Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah. Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias pula dilantik sebagai Pemangku Naib Yang Dipertua Agung PAS, manakala bekas Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS yang baru. Seorang lagi bekas Setiausaha Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dilantik menggantikan Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat. Ada pun tempat yang dikosongkan oleh Wan Ismail Ibrahim sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah digantikan oleh Ustaz Twahir @ Tahir Daeng Mengati dari Johor. Turut terlibat dalam perlantikan baru ini ialah bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Salmah Sheikh Hussein yang diangkat sebagai Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat menggantikan Datin Sakinah Junid.

Dengan terlantiknya saf kepemimpinan baru yang membentuk asas kepemimpinan ulamak dalam PAS, keseluruhan organisasi PAS telah berjaya dipulih dan diperkukuhkan. Elemen-elemen yang mewujudkan krisis dalam PAS telah tersingkir dari kepemimpinan utama PAS. Walaupun penyokong-penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda cuba melakukan 'kekacauan' dalam PAS melalui siri-siri perletakan jawatan terutama di Kelantan dan Kedah, kemudian diikuti oleh penubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak yang dipimpin oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, semua gerakan ini dapat dibendung apabila Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 23 Januari 1983 telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 13 orang penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda sehingga membawa kepada tertubuhnya parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 24 Mac 1983, yang sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan tersebut.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
4 November 2016 - HARAKAHDAILY 4/11/2016

Share on Myspace