PAS tolak pelawaan PAN sertai Bersih 5.0

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: PAS menolak pelawaan Parti Amanah Negara (PAN) supaya gerakan Islam itu menyertai perhimpunan Bersih 5.0 pada 13 November ini di Kuala Lumpur.

Bahkan lebih teruk lagi, parti serpihan itu turut menyatakan komitmen berkenaan sebagai syarat untuk PAS menyertai Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP.

Sebaliknya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS tidak pernah menyatakan hasrat untuk bergabung bersama Pakatan Harapan atau pun Umno.

"Cuma kita bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang menghormati dasar dan prinsip PAS, kita terbuka dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu Jalan Dato' Pati di sini pagi tadi.

Mengenai perhimpunan Bersih pula, beliau sekali lagi menegaskan PAS tidak akan menyertai program berkenaan serta mengarahkan ahli agar tidak terlibat.

Walaupun PAS menyokong beberapa tuntutan Bersih, namun parti itu mempunyai agenda lebih besar iaitu mengubah sistem sedia ada bukannya pemimpin.

Jelas Tuan Ibrahim, PAS hanya akan menyokong sebarang perhimpunan yang menepati dasar serta prinsip parti itu dalam usaha memartabatkan Islam.

"Cuma penyertaan kita tidak seperti digambarkan dalam himpunan Bersih sahaja, bahkan semua usaha kita, mengambarkan apa yang PAS perjuangkan," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Bersih kerana membuat tuntutan. Sebaliknya PAS lebih fokus terhadap perubahan melalui sistem demokrasi.

Bercakap pada majlis lain pada petang tadi katanya Bersih bukan lagi nama program seperti ketika peringkat awal diwujudkan, sebaliknya sekarang sudah menjadi sebuah NGO.

Katanya Bersih sudah menjadi sebuah NGO yang didominasi pihak lain.

"PAS tidak terlibat sebagai penganjur himpunan tersebut, kita juga tidak tahu sejauh mana perancangan mereka.

"Kita tidak mahu hanya dijadikan alat bagi mencapai sesuatu, biar pun kita juga tidak setuju dengan pengurusan pilihan raya yang dikendalikan SPR.

"Kita bantah melalui pertemuan dan perbincangan dengan pihak berkaitan kerana ia dianggap lebih berkesan," katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2016

Share on Myspace