Bersih 5.0: DAP harus matang berpolitik

ABDUL HISHAM OTHMAN | .

DAP mula menggelabah dan terdesak sehingga Timbalan Bendahari Agungnya, Nga Kor Ming terpaksa mengeluarkan kenyataan mengajak PAS bersama menyertai himpunan Bersih 5.0 seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian online (http://www.bhplus.com.my/node/208946)

PAS sebelum ini telah menegaskan untuk tidak bersama pembangkang yang lain dalam himpunan Bersih 5.0 tersebut. Keengganan PAS bersama Bersih dilihat akan menjejaskan jumlah penyertaan peserta sepertimana dalam himpunan Bersih 4.0.

Nga Kor Ming cuba menanamkan persepsi buruk kepada PAS dengan menganggap PAS sebagai ingin bersekongkol dengan Umno jika PAS tidak turut serta dalam himpunan tersebut. Analogi yang beliau lakukan sangat dangkal dan tidak mencerminkan sifat besar sebagai seorang pemimpin.

Bolehkah kita andaikan jika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng makan semeja dengan pemimpin Umno yang bertaraf menteri Persekutuan maka beliau akan bersekongkol dengan Umno. Jika Datuk Dr Mujahid Yusof, seorang pemimpin PAN berjumpa dengan seorang pemimpin gereja maka beliau akan bersekongkol dengan kristian.

Pemimpin harus berjiwa besar dan menunjukkan kematangan apabila mengeluarkan kenyataan. Negara Malaysia dibina dalam tempoh yang cukup lama dan mengorbankan puluhan ribu jiwa yang berjuang mempertahankannya. Janganlah akibat terdesak untuk mendapat dan mengekalkan kuasa maka norma-norma kesopanan dan kesusilaan diabaikan.

Parti-parti politik di negara ini mempunyai matlamat dan hala tuju yang berbeza. Walaupun semua pembangkang berhasrat dan mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional tetapi kaedah untuk menjatuhkan kerajaan yang korup ini mestilah melalui pilihan raya. Gerak kerja PAS yang berpaksikan al-Quran, sunnah Rasul, ijmak ulama dan qias tentulah berbeza dengan parti-parti politik yang lain sama ada DAP, PKR dan sebagainya. Maka kaedah yang PAS gunakan untuk mendepani Umno Barisan Nasional juga berbeza dari pembangkang yang lain. Pendekatan yang PAS gunakan tentulah mengambil kira dasar dan perlembagaan PAS sebagai sebuah parti Islam.

PAS ditendang keluar dari Pakatan Rakyat oleh DAP. Mereka juga memutuskan hubungan dengan Presiden PAS sekali gus berkerat arang berpatah rotan dengan PAS itu sendiri. Mereka juga sebelum ini menegaskan untuk tidak bekerjasama dengan PAS, maka Muktamar PAS Pusat pun memutuskan untuk tidak lagi mempunyai hubungan dengan DAP dan seluruh kepimpinannya. Sepatutnya tidak timbul soal PAS perlu bersama gabungan pembangkang yang lain dalam himpunan Bersih 5.0

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Hashim Jasin menegaskan bahawa PAS boleh berbincang untuk mencapai persetujuan satu lawan satu dalam PRU14. Ini tidak bermaksud PAS harus tunduk untuk dipijak kepalanya oleh DAP dan sekutunya tetapi kenyataan tersebut boleh ditafsirkan sebagai kesediaan dan jiwa besar pemimpin PAS untuk mendahulukan rakyat dalam urusan politik negara.

Namun formula satu lawan satu tersebut mengikut Mursyidul Am PAS mestilah mengikut konsep Islam iaitu menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram. Jika ini dapat diterima oleh DAP dan gabungan pembangkang yang lain sudah tentu satu perbincangan dapat diadakan sebagai langkah awal ke arah kerjasama tersebut.

DAP tidak perlu melatah dan bersikap seperti baru belajar berpolitik. Tunjukkan sikap yang matang dan hentikan serangan terhadap PAS. Musuh utama pembangkang dan rakyat yang cintakan keadilan ialah Umno Barisan Nasional. Belajar untuk menghormati pendirian orang lain jika mahu pendirian kita dihormati. Berhenti meletakkan syarat kepada PAS yang sudah menegaskan pendirian untuk tidak menyertai himpunan Bersih 5.0. - HARAKAHDAILY 5/11/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Sabah.

Share on Myspace