Hari ini dalam sejarah PAS (7 November 1992)

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: MAJLIS SYURA ULAMAK PAS LULUSKAN DRAF UNDANG-UNDANG HUDUD KELANTAN (7 NOVEMBER 1992)

PADA hari ini dalam tahun 1992, Majlis Syura Ulamak PAS telah meluluskan draf awal rang undang-undang kanun jenayah syariah bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kecil Undang-undang dan Pelaksanaan Syariat di bawah Jawatankuasa Pemandu Kerajaan PAS Kelantan.

Pelaksanaan hukum jenayah syariah termasuk hudud adalah salah satu dari janji PAS yang telah dinyatakan dalam Manifesto PAS Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990. Bagi menggubal draf undang-undang ini, Kerajaan PAS Kelantan telah mengambil masa dua tahun untuk membuat kajian, terutama pada aspek perlaksanaan dan kedudukannya dalam Perlembagaan Negeri Kelantan.

Setelah setahun PAS memerintah Kelantan, tumpuan awal yang diberikan oleh PAS adalah mewujudkan sistem pentadbiran Islam, tanpa menumpu kepada perlaksanaan syariat. Dalam soal perlaksanaan syariat, kajian telah dibuat oleh Jawatankuasa Kecil tersebut ke atas Perlembagaan Negeri Kelantan untuk menyelaraskannya dengan prinsip-prinsip Islam, sekali gus memudahkan perlaksanaan syariat. Setelah kajian ke atas Perlembagaan Negeri Kelantan telah selesai pada 17 Mac 1991, kajian untuk menggubal undang-undang syariat mula dibuat terutama mulai 1992.

Pada 18 Oktober 1991, Jawatankuasa Pemandu Kerajaan PAS Kelantan telah menerima cadangan daripada Jawatankuasa Semakan dan Perlaksanaan Undang-undang Negeri Kelantan berkait cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan, yang dianggap langkah awal ke arah perlaksanaan syariat.

Sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Dun Bukit Payung, Terengganu antara Mac-April 1992, isu perlaksanaan hudud mula menjadi panas kerana kenyataan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pada 1 April 1992 bahawa PAS akan meminda Perlembagaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan hudud, telah mendapat reaksi negatif dari pemimpin Umno.

Memandangkan PAS bertegas untuk melaksanakan hudud, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 16 April 1992 menyatakan pendirian Kerajaan Pusat untuk tidak menghalangnya, yang menyebabkan ia disambut baik oleh Menteri Besar Kelantan.

Kerajaan Pusat kemudiannya berubah pendirian setelah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menentangnya. Bagi menghentikan suara-suara yang menentang hudud ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 10 Mei 1992 telah mengingatkan bahawa perbuatan menolak hukum Allah boleh menyebabkan seseorang itu murtad.

Di sebalik polemik yang berlarutan sepanjang 1992 ini, Jawatankuasa Kecil yang dianggotai oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib, Ustaz Hussin Awang, Wan Abdul Muttalib  Embong dan Tun Mohd Salleh Abas telah berjaya menyiapkan draf undang-undang syariat tersebut.

Pada 7 November 1992, Majlis Syura Ulamak PAS yang bermesyuarat bersama Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS Pusat telah menerima pembentangan draf undang-undang syariat yang dilaksanakan di Kelantan, dan meluluskannya.

Pada awalnya Kerajaan PAS Kelantan bercadang untuk membentangkannya di Dun Kelantan pada November 1992, tetapi ia tertangguh beberapa kali kerana masalah teknikal, sehinggalah akhirnya ia berjaya dibentang pada 24 November 1993 dan diluluskan keesokkannya.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 November 2016 - HARAKAHDAILY 7/11/2016

Share on Myspace