Harga minyak masak: Dedah mekanisme, tingkat kawalan

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kenaikan mendadak harga minyak masak berikutan penstrukturan semula subsidi minyak masak oleh Kerajaan. Kenaikan melebihi 40% daripada harga asal adalah sangat melampau dan benar-benar mengejutkan pengguna.

DPPM mendesak Kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) agar mendedahkan mekanisme yang digunakan bagi menetapkan harga baru minyak masak terutamanya kepada pengilang dan pemborong. Mekanisme ini juga sangat penting untuk dikawal selia agar pengilang dan pemborong tidak sesuka hati menetapkan sesuatu harga.

Jika dilihat apa yang berlaku sekarang, KPDNKK seolah-olah tiada kawalan ke atas penetapan harga minyak masak walaupun ia termasuk dalam senarai bahan kawalan. Menggunakan alasan bahawa harga bahan itu ditentukan oleh pengilang adalah hanya sikap melepas tangan. Sebagai kementerian yang bertanggungjawab, KPDNKK wajar merancang dengan teliti dan berkesan supaya tidak membebankan pengguna.

Mekanisme atau kaedah yang digunakan untuk menetapkan harga minyak masak perlu jelas agar ia adil kepada semua pihak terutamanya pengguna. Akibat tiada mekanisme yang jelas ini, sekarang yang terbeban ialah pengguna, yang sememangnya sudah sedia terhimpit dengan pelbagai kenaikan barangan keperluan akhir-akhir ini.

Penghapusan subsidi telah menyebabkan harga minyak masak melambung tinggi di pasaran. Ia mencetuskan panik dikalangan pengguna sehingga berlaku kekurangan bekalan minyak masak dibeberapa buah negeri akibat pembelian dalam skala yang banyak oleh pengguna.

Selain itu, terdapat pemborong yang mengambil kesempatan membuat untung segera dengan menyorokkan stok minyak masak. Menurut KPDNKK, sejak 21 Oktober lalu, sebanyak 40 tan minyak masak bernilai RM112,000 dirampas di seluruh negara dengan pelbagai kesalahan seperti menyorokkan bekalan, memiliki dan menjual barang kawalan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

DPPM berharap agar KPDNKK tidak berkompromi dalam soal ini. KPDNKK perlu memastikan mekanisme yang digunakan adalah berkesan untuk mengawal dan menstabilkan harga minyak masak dalam pasaran. Penguatkuasaan yang jitu amat perlu agar tiada pemborong yang menyorokkan bekalan. Jika  hampir 2 minggu sudah dirampas 40 tan, apakah yang akan berlaku jika keadaan berterusan begini dengan lemahnya mekanisme, baik dari sudut pengawalan harga mahupun penguatkuasaan. Jangan biarkan rakyat terus menjadi mangsa.

DPPM juga memaklumkan akan menghantar ‘Memorandum Rakyat’ kepada KPDNKK dalam masa terdekat yang mengandungi beberapa tuntutan dan cadangan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang membebankan rakyat pada ketika ini.

“Bertekad Melebar Muafakat"

"Inilah Penyelesaian Kita”

USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Prihatin Rakyat DPPM
7 November 2016 | 7 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 7/11/2016

Share on Myspace