Ketabahan seorang ibu tua bernama Mok Jah

DR AZMAN IBRAHIM | .

“Mok Jah nak biar boleh bergerak gi ngaji Quran rumah sebelah jah... Terima kasih banyok laa wat mari kerusi ko Mok Jah. 8 tahun doh Mok Jah tak leh jalan.”

Hanya itu ungkapan yang dituturkan Mok Jah atau nama penuhnya Tijah Mat Saman, 78, dari Kampung Tok Dat, Jabi dengan linangan air mata saat dikunjungi oleh rombongan PAS Jabi dengan membawa sumbangan yang sangat bererti baginya, sebuah kerusi roda.

Dalam usia 78 tahun, tinggal berdua bersama seorang cucu, Mok Jah masih cuba mengerah tenaga yang bersisa untuk tidak menyusahkan orang lain bagi mengurus keperluan dirinya sendiri. Memasak makanan sendiri dan mengesot ke sana ke mari bagi menggantikan fungsi kedua-dua kakinya yang telah kaku.

Anak-anak tinggal berdekatan memudahkan urusan ibu tua yang telah kematian suami kira-kira 30 tahun yang lalu.

Hasrat Mok Jah ingin memiliki sebuah kerusi roda baru disebabkan kerusi roda usang pusaka dari arwah abangnya dulu sudah lama tak boleh digunakan lagi. Hari Jumaat 4 November lepas, Setiausaha Muslimat PAS Dun Jabi menyampaikan hajat Mok Jah kepada kami. Tindakan segera diambil untuk mendapatkan sebuah kerusi roda dan semalam Ahad 6 November 2016, senyum lebar terukir di wajah Mok Jah menerima sumbangan yang tak seberapa dari PAS Jabi. Setiausaha Muslimat PAS Jabi memaklumkan, bila dia maklumkan kepada Mok Jah kami nak datang bawa kerusi roda, terus Mok Jah menangis. Lama rupanya dia menyimpan hajat untuk memilikinya. Terdetik rasa bersalah kerana saya lambat mendapat maklumat.

Kebajikan itu bermakna mempermudahkan. Jangan disusahkan seorang ibu tua untuk isi borang itu dan ini, kena dapatkan tandatangan orang itu dan orang ini serta segala macam karenah birokrasi hanya untuk mendapatkan sebuah kerusi roda.

Seorang ibu tua seperti Mok Jah tidak meminta-minta. Hidup ala kadar seadanya menghabiskan sisa usia yang berbaki. Senyum di wajah tuanya menyimpan seribu satu macam pengalaman hidup yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Masih berusaha untuk bercucuk tanam seadanya di sekeliling rumah sekadar untuk keperluan diri sendiri. Mengkagumkan bila dengan keadaan berkeuzuran begitu, masih menjadi rutin Mok Jah untuk pergi mengaji Quran di rumah anaknya dengan jarak kira-kira 100 meter lebih.

Tahun 2013, rumah yang didiaminya dijilat api. Dengan kudrat yang ada, ibu tua ini menyelamatkan diri sehelai sepinggang. Syukur kepada Allah, umurnya masih panjang. Semoga Allah terus melindungi dan merahmati Mok Jah di dunia ini dan digolongkan dalam kalangan hambanya yang solehah. - HARAKAHDAILY 7/11/2016

Penulis ialah Ketua Kebajikan PAS Terengganu merangkap Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi.

Share on Myspace