SRITI bakal beroperasi di Kelantan Januari 2017

SALMAH MAT HUSAIN | .

PENGKALAN CHEPA: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), bakal beroperasi di Kelantan bermula sesi Januari 2017.

Pengarah Pasti Negeri, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekolah rendah berkenaan bakal beroperasi di tiga kawasan, iaitu Pengkalan Chepa, Tanah Merah dan Pasir Putih.

Katanya lagi, sekolah tersebut diwujudkan sebagai memenuhi hasrat ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah sedemikan setelah tamat di peringkat Pasti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis Sukan Pasti Al-Ahmadi 2016, di perkarangan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Seramai 136 orang pelajar Pasti Al-Ahmadi Tebing Tinggi, 13 orang pelajar PASTI Rabbaniah Kg Sabak dan 30 orang pelajar Qiraati di Pusat Pendidikan Islam Al-Ahmadi mengambil bahagian pada program julungkali diadakan itu.

Peserta dibahagikan kepada beberapa rumah sukan iaitu Merah Jambu, Ungu, Hijau dan Kuning.

Sebanyak 22 acara sukan telah dipertandingkan dan juara keseluruhan pasukan ialah rumah pasukan hijau.

Hadir sama pada majlis itu, Anggota Dewan Negara, Khairiah Mohamed,  Pengerusi Pasti Al-Ahmadi Tebing Tinggi, Nik Bahrum Nik Abdullah.

Fadhli seterusnya berkata, sejak sekian lama ibu bapa memohon supaya Pasti menubuhkan sekolah rendahnya sendiri.

“Mereka mengadu sayangnya setelah dididik di bawah asuhan Pasti, akhirnya ke sekolah biasa yang tidak menekankan pendidikan sebagaimana di Pasti.

“Ekoran daripada itu, Pemuda PAS Pusat bermula tahun ini telah menubuhkan sekolah tersebut di seluruh negara,” ujarnya.

Tambahnya, pada mulanya penubuhan itu hanya 11 buah sahaja, akhirnya bertambah menjadi 20 buah semuanya.

Sambungnya, bermula tahun hadapan Kelantan pula akan berbuat demikian bermula sesi Januari 2017.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan ia perlu melalui beberapa mesyuarat.

Majlis penutup dirasmikan Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin. – HARAKAHDAILY 7/11/2016

Share on Myspace