Mekanisme semakan Rumah Selangorku dikaji semula

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji semula mekanisme sistem semakan permohonan rumah mampu milik, Rumah Selangorku.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pelaksanaannya dibuat supaya sistem berkenaan lebih bersifat mesra pengguna.

“Seperti yang pernah dibangkitkan sebelum ini, laman semakan perlu bersifat lebih mesra pengguna supaya ia memudahkan pemohon membuat semakan status permohonan.

“Mungkin, kita boleh selaraskan sistem ini dengan menambah baik perkhidmatan melalui beberapa kaedah antaranya menghantar surat jawapan berhubung status permohonan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau menyatakan demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung mekanisme penyelarasan sistem permohonan Rumah SelangorKu di Dewan Negeri (DNS), hari ini.

Rumah Selangorku kian menjadi antara pelopor pasaran hartanah tempatan yang mula diintai untuk dimiliki rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Walaupun masih hijau dalam gelanggang perumahan juga hartanah, namun tawaran harga jualan Rumah Selangorku tidak melebihi RM250,000 seunit meyakinkan rakyat untuk memohon menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Faktor perumahan dijalankan Institut Kajian Khazanah mendedahkan Rumah Selangorku menawarkan tiga varian; jenis B dijual pada harga RM100,000 dengan keluasan 750 kaki persegi, jenis C dari RM150,000 hingga RM200,000 (800-1080 kaki persegi).

Sementara jenis D pada anggaran harga RM220,000 hingga RM250,000 berkeluasan 1,000 hingga 1,200 kaki persegi.

Pesaing terdekat Rumah Selangorku adalah projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dengan tawaran harga jualan sehingga RM300,000.

Daripada segi anggaran pendapatan, Rumah Selangorku dan PPA1M menjadi tumpuan golongan berpendapatan 0 hingga RM5,000 sebulan sementara RUMAWIP dari 0 hingga RM10,000 sebulan.

Bagaimanapun, wujud dakwaan daripada pemohon yang mengalami kesukaran untuk menyemak status permohonan yang dibuat di laman sesawang Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Share on Myspace