1MDB: Syarikat bermasalah di China dibawa ke sini

AL-HUSAINY | .

PASIR PUTEH: Mungkinkah kerana wang bagi membayar timbunan hutang 1MDB pemimpin negara tidak lagi memiliki keberanian bagi mempertahankan wilayah kepunyaan kita.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Datuk Kamaruddin Mohd Nor berkata kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah menyerah syarikat dari China membangun Bandar Malaysia.

“Kita perlu ingat syarikat dari China datang membawa segala peralatan mereka apabila datang ke sini.

“Bahkan tukang masak dan tukang cuci pun mereka akan bawa sekali ke Malaysia. Gaji pekerja di China lebih murah 5 kali ganda berbanding dengan kita di sini.

“Kalau syarikat China mengguna pekerja tempatan mereka terpaksa membayar lebih. Kerajaan pula benarkan mereka bawa semuanya,” katanya di sini.

Sebelum ini kerajaan dikatakan menjual 60 peratus saham projek Bandar Malaysia dengan harga RM7.41 bilion kepada konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Dan baru-baru ini pula syarikat Malaysia dan China memanterai 14 perjanjian yang bernilai RM144 bilion semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Beijing.

Perjanjian berkaitan kejuruteraan dan pembinaan ditandatangani antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd, China Communications Construction Company Limited (CCCC) dan China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCCM).

Selain itu, China Construction Bank (Malaysia) Berhad diberikan lesen perbankan dengan modal berbayar awal USD200 juta bagi membiayai pembangunan prasarana Malaysia.

Kamaruddin berkata, rakyat Malaysia dijangka tidak mendapat banyak manfaat kerjaya daripada projek tersebut.

“Kerajaan BN beri lesen untuk tubuh bank lagi di Malaysia sedangkan lesen bank sudah beku. Namun kerana hutang 1MDB kerajaan sanggup beri lagi lesen bank.

“Bagaimana pula dengan bank yang sedia ada di negara kita. Lebih pelik lagi syarikat CCCC disenaraihitam semua institusi kewangan dunia termasuk Bank Dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2016

Share on Myspace