DAP ahli nujum moden yang malang

MOHD AKMAL KAMARUDDIN | .

DAP terus lagi membawa konsep analisis sempit dengan persepsi dan teori tahyul dalam bacaan PRU14. Setiap kali musim pilihan raya, ada sahaja ramalan yang dikeluarkan mereka, persis kejuaraan bola sepak Euro ada sotong Paul dalam Euro 2012, singa laut Watson dalam Euro 2016. Malangnya segala ramalan yang dikeluarkan DAP tidak setepat haiwan tersebut di Euro.

Kita telah pun menyaksikan kegagalan analisis DAP dalam Pilihan raya Negeri Sarawak yang lalu. Apabila beberapa kerusi DAP telah hilang dalam PRN dan bagaimana sokongan pada parti PAS.

Kita agak hairan dengan gelagat DAP setelah keluar dari Pakatan Rakyat, dengan muka tidak malu terus menerus mengulas tentang PAS sedangkan mereka sudah tiada kaitan dengan PAS.

Terbaru kenyataan Chong Zhemin, Ketua Biro Ekonomi DAP Perak jelas menunjukkan bahawa DAP semakin gusar dan bimbang akan kekuatan PAS. PH cukup menyedari bahawa PAS semakin diterima masyarakat dengan pembawaan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Satu tindakan yang mereka ada kini hanyalah melambung persepsi semata-mata, menakut-nakutkan penyokong dan meragukan pengundi.

PAS bekerja bukan berdasarkan persepsi tetapi menterjemahkan dalam bentuk tindakan yang tersusun rapi. Bukti jelas PAS semakin diterima rakyat ialah pendaftaran ahli PAS yang saban bulan kian bertambah. Malahan kini, DHPP turut mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Cina dan India yang memahami asas perjuangan yang dibawa oleh PAS.

PAS bergerak selari dengan gelombang nadi rakyat. PAS mendahului semua pembangkang dalam isu-isu yang dibawa. Rakyat kini sudah muak dan bosan dengan cakap-cakap dan mainan politik sempit PH. Rakyat mahukan parti yang mengutamakan rakyat melebihi kepentingan peribadi. Rakyat mahukan pemimpin yang rasional dalam mentadbir dengan menilai solusi menjangkaui blok kepartian. Selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dibawa oleh PAS.

Apa ertinya ramalan jika tiada tindakan. Apa erti kekuatan tanpa ahli yang ikhlas dalam berjuang. Inilah realiti PH yang tiada ahli akar umbi, hanya mampu bergerak ke sana sini dalam setiap program mereka dengan ahli yang sama di seluruh negeri Perak. Ini berbeza dengan PAS yang bergerak dengan ahli cawangan dan kawasan yang ikhlas dan istiqamah. Bersedia berkorban masa, harta dan tenaga demi sebuah kemenangan. Aqidah mereka pada janji Ilahi bukan pemimpin parti.

Melalui kajian yang dibuat, ternyata sokongan Melayu berbagai latar belakang telah memihak kepada PAS berbanding Umno. Secara keseluruhan, 42% gembira dengan PAS sedangkan Umno hanya 35%. 54% Melayu marah pada Umno manakala kepada PAS hanya 32%.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) mengingatkan kepada PKR dan Bersatu untuk berhati-hati dengan pakar ramalan temberang DAP, sementara PKR, Bersatu dan DAP pula berhati-hati dengan PAN kerana mereka sudah biasa mengkhianati parti.

DPPN Perak juga bersedia menyahut cabaran picisan DAP Perak itu. Kita mempunyai strategi kita tersendiri. Kita tidak takut dengan serangan musuh. Bahkan kita bersedia pada bila-bila masa untuk menggalas beban rakyat dalam PRU akan datang.

DPPN Perak juga yakin bahawa rakyat lebih berpijak kepada realiti daripada melayan ramalan persepsi DAP. Hakikatnya gerak kerja PAS kini semakin di hati masyarakat. PAS bukan hanya datang dengan idea, PAS juga sentiasa bersama bergelumang dengan suka dan duka rakyat.

"Inilah Penyelesaian Kita"
"Bertekad Melebar Muafakat"
"Pemuda Istiqamah Peneraju Kemenangan"

MOHD AKMAL KAMARUDDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
7 Safar 1438 / 7 November 2016 - HARAKAHDAILY 7/11/2016

Share on Myspace