Pelan induk pertanian Selangor siap Disember ini

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pelan induk pembangunan pertanian Selangor dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, fokusnya tertumpu kepada perancangan jangka panjang untuk membangunkan prospek pertanian negeri yang giat dilaksanakan ke arah membantu perkembangan industri pertanian negeri.
 
“Kita sedang dalam proses akhir untuk menyiapkan pelan induk pertanian pembangunan negeri menerusi kerjasama yang dibuat bersama Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Pengisiannya tertumpu kepadap pelan pembangunan jangka panjang pertanian negeri yang akan siap sepenuhnya Disember ini,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad pada persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Terdahulu, pelan tersebut dirangka secara konsisten dan akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Dalam perkembangan sama, pelan tersebut juga tertumpu kepada usaha pembangunan semula hasil projek Fruit Valley yang dilaksanakan di Kuala Selangor dapat dinikmati dan menjana pertumbuhan hasil pertanian negeri.

“Dalam tempoh terdekat ini kita boleh melihat dan melawat perkembangan yang sangat baik dengan peningkatan hasil tanaman yang diusahakan usahawan tani.

“Dijangka pertengahan 2017 juga Selangor Fruit Valley ini akan dibuka kepada umum sebagai inisiatif menyokong program agro pelancongan negeri,” katanya.

Share on Myspace