Penduduk Kg Tukau Jaya pertahan hak tanah mereka

JOFRI JARAIEE | .

KES tanah adat atau (NCR land) semakin hangat diperkatakan di Sarawak. Ada penduduk asal Sarawak yang sudah lama menetap di tanah datuk nenek moyang mereka sejak turun temurun sehingga kini masih lagi tidak diberi hak milik sepenuhnya.
 
Pada tahun 2014 dalam satu kenyataan akhbar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan telah melaksanakan fasa kedua program itu, yang melibatkan pengukuran lot individu dalam kawasan yang diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. Kaji selidik tanah perimeter di bawah 'Inisiatif Baru NCR' kerajaan dijangka siap pada akhir tahun 2015 tetapi sehingga kini masih belum selesai lagi.
 
Penduduk kampung sudah berpuluh kali memohon tanah untuk tempat kediaman serta tempat mereka bercucuk tanam tetapi sebaliknya pihak koperat atau Syarikat Pembangunan Hartanah dan lain-lain syarikat pula yang dengan mudah memiliki tanah mereka. Kebanyakan penduduk kampung adalah petani dan juga nelayan. Dari hasil pertanian dan menangkap ikan mereka dapat menyara kehidupan harian mereka sekeluarga.
 
Penduduk kampung sudah mengadu masalah ini kepada pihak SPR (Suruhanjaya Pencegah Rasuah) Malaysia untuk menyiasat bagaimana tanah mereka boleh dimiliki oleh pihak syarikat sedangkan mereka lebih awal menetap disitu sebelum syarikat terbabit memohon tanah tersebut.
 
Kes tuntutan tanah di Kampung Tukau Jaya sehingga kini semakin meruncing apabila syarikat Parabena Sdn Bhd menyaman dan cuba untuk mengusir atau meminta penduduk kampung mengosongkan tempat kediaman mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun mereka tinggal disitu.
 
Ada 3 orang penduduk di kampung tersebut yang disaman oleh Parabena Sdn Bhd. Mereka ialah Yahya bin Timbon pengerusi Kampung Tukau Jaya, Haslan bin Abu Bakar setiausaha dan Mahari bin Lamat timbalan setiausaha. Mereka telah hadir untuk mendengar saman di Mahkamah Tinggi Miri pada 7 November 2016 pada jam 9 pagi. Tapi malangnya pihak yang mendakwa tidak hadir ke mahkamah.
 
Menurut pihak terdakwa, pihak pendakwa cuma hadir melalui persidangan video dari Kuching. Mereka yang dikena saman telah dibicara secara bergilir-gilir. Mula-mula mereka memanggil Haslan selepas itu Mahari dan seterusnya Yahya. Mereka sepatutnya dipanggil serentak tetapi persoalannya mengapa mereka dipanggil secara individu dan penduduk kampung tidak dibenar masuk sebagai saksi bersama mereka. Harap kes tanah ini dapat diselesaikan secara baik dan tidak berlaku sebarang unsur yang boleh menjejaskan keharmonian penduduk disitu.
 
Kalau mengikut perundangan kata Hazlan, keputusan mereka untuk menghalang mahkamah memihak Parabena berjaya sebab pihak pendakwa yang sepatutnya hadir di Mahkamah Tinggi Miri bukan hanya melalui persidangan video dari Kuching. Pada waktu itu ramai penduduk Kampung Tukau Jaya hadir bersama-sama memberi sokongan moral kepada ketiga-tiga terdakwa di Mahkamah Tinggi Miri.
 
Penduduk kampung Tukau Jaya tidak bersetuju dengan saman Parabena dan akan melantik peguam bagi mewakili penduduk kampung. Perbicaraan selanjutnya ialah pada 12 Disember 2016 di Mahkamah Tinggi di Miri.
 
Walaupun kes ini masih dalam kes mahkamah, kita mengesa pihak kerajaan di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak mengambil tindakan sewajarnya dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung yang masih belum memiliki hak milik tanah supaya kes semacam ini tidak berulang lagi.
 
Cuba bayangkan kalau penduduk kampung dihalau dari tempat kediaman mereka yang sudah berpuluh tahun mereka duduki, dimana mereka hendak tinggal dan bagaimana dengan nasib anak-anak mereka yang masih memerlukan tempat kediaman yang selesa dan selamat.
 
Adakah kerajaan mahu mereka jadi setinggan dan hidup merempat di tanah air sendiri? Mereka perlu tempat tinggal yang selesa dan ada tempat untuk mereka menyara kehidupan harian mereka.
 
Kalau pun pihak syarikat memberi ganti rugi belum tentu kehidupan mereka selesa dengan keadaan ekonomi sekarang yang tidak stabil dan dengan harga rumah yang terlalu mahal serta harga barang keperluan yang tinggi sudah tentu nasib mereka lebih teruk lagi.
 
Apa yang penduduk kampung perlu adalah tempat tinggal serta tempat mereka boleh bercucuk tanam supaya mereka dapat menyara kehidupan harian mereka.
 
Pihak pemerintah sekarang perlu memikir nasib rakyat peribumi yang tidak memiliki tanah sendiri bukan hanya memikir kepentingan syarikat-syarikat yang hanya mementingkan keuntungan semata.
 
Seperti mana kerajaan Sarawak menuntut kuasa atonomi dan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian penubuhan Malaysia dari kerajaan pusat begitu jugalah rakyat peribumi yang memohon tanah adat dan Tanah Temuda datuk nenek moyang mereka juga diberi hak yang sama dan sewajarnya.
 
Sekali lagi kita memohon pihak kerajaan Sarawak mengambil serius masalah tanah rakyat yang diambil secara tidak sah oleh syarikat-syarikat ini agar dikembalikan semula kepada penduduk peribumi Sarawak. Jangan gadaikan tanah peribumi kepada pelabur asing semata-mata untuk mendapat keuntungan kerana kita tidak mahu dijajah semula seperti apa yang berlaku sebelum kedatangan penjajah ke Borneo dulu.
 
Harap pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah tanah penduduk kampung yang sudah lama memohon. Sepatutnya pemohonan penduduk kampung diberi keutamaan dan jangan membiarkan penduduk kampung hidup dalam ketakutan disebabkan status tanah mereka masih tergantung akibat proses terlalu lama untuk mendapatkan hak milik tanpa sebarang jawaban terutama dari pihak Jabatan Tanah dan Ukur.
 
Mereka yang bertanggungjawab dalam hal tanah seharusnya tahu siapa pemilik tanah asal dan jangan serahkan kepada mana-mana syarikat tanpa pengetahuan penduduk yang sudah lama menetap disitu.
 
Rakyat Sarawak sangat mengharapkan Ketua Menteri Sarawak menunaikan janji untuk memberi keutamaan kepada rakyat luar bandar agar mereka tidak tersingkir dari arus pembangunan dan mereka juga dapat memiliki tanah sendiri dengan kehidupan yang lebih selesa.
 
Kita mencadangkan agar kerajaan dapat memberi hak milik pemohon tanah terutama kepada peribumi Sarawak yang sudah lama memohon tanah sepatutnya diberi kelulusan segera dengan syarat-syarat yang ketat seperti jangan menjual tanah kepada orang asing atau yang bukan peribumi Sarawak. Mereka ini memerlukan tanah untuk tempat kediaman serta tempat bercucuk tanam.
 
Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah tanah rakyat dengan sewajarnya amat dihargai. – HARAKAHDAILY 8/11/2016

Share on Myspace