Pertahankan kedaulatan Bahasa Melayu

ZAITOON IBRAHIM | .

KUALA LUMPUR: “Saya tetap terus mempertahankan bahasa Melayu,” demikian tegas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Majlis Pelancaran Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Auditorium PNM, semalam.

Beliau memberitahu cabaran mendaulatkan bahasa Melayu yang dihadapi hari ini bukan mudah dengan mengambil contoh usaha mempertahankan tulisan Jawi.

Katanya, persoalan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu perlu dibuat secara serius kerana kesannya nanti akan dirasai oleh generasi muda sendiri yang turut tersentuh hati dengan nasib bahasa Melayu hingga menitiskan airmata ketika merasmikan seminar tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah PNM, Nafisah Ahmad memberitahu, terdapat 4,862 naskhah manuskrip tulisan tangan yang tersimpan di PNM sebagai bukti keintelektualan bangsa Melayu yang ditulis dalam tulisan Jawi.

Tambahnya lagi, kebanyakan manuskrip Melayu ditulis dalam bahasa Melayu, terdapat juga dalam bahasa Arab dan Sanskrit.

Seminar selama dua hari itu adalah untuk membincangkan penemuan terkini mengenai asal usul bangsa Melayu melalui penyelidikan Mitikondrial DNA oleh Dr Stephen Oppenheimer, pensyarah dari Universiti Oxford dan bukti intelektual Melayu melalui manuskrip Melayu.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Datuk Ab Ghafar A Tambi, Pengerusi Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Profesor Kesusasteraan Bandingan dan Ombudsman Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar dan Ahli Lembaga Penasihat PNM, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh. - HARAKAHDAILY 8/11/2016

Share on Myspace