Demo Indonesia dan kaitan kepada geopolitik serantau

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

Demonstrasi gergasi umat Islam di Indonesia yang dinamakan sebagai Aksi Damai Bela Islam adalah bantahan terhadap keceluparan gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok. Sebelum ini Ahok dalam sebuah ucapan kempennya menyeru umat Islam mengundi beliau dan jangan tidak terpengaruh pembohongan Surah al-Maidah ayat 51. Menurut beliau, umat Islam tidak harus diperbodohkan dengan ayat al-Quran itu.

Ahok sememangnya prejudis terhadap Islam sejak dahulu. Sebelum ini beliau pernah menimbulkan kontroversi untuk menghalang umat Islam dari menyembelih korban pada Aidil Adha. Beberapa masjid pernah dirobohkannya sehingga mengganggu urusan solat Jumaat. Banyak pegawai muslim ditukar dengan penjawat beragama lain atas alasan yang tidak munasabah. Cuti lebaran mahu dihapuskan, adat bertakbir mahu dihapuskan, syiar Islam di sekolah dan budaya masyarakat ditentang, dan mungkin yang paling celupar adalah kata-katanya: "ayat suci wajib tunduk pada ayat konstitusi (perlembagaan)."

Umat Islam yang sudah sekian lama memendam rasa marah akhirnya tidak dapat bertahan lagi. Seruan demonstrasi oleh sebuah NGO GNPF-MUI (Gerakan Nasional Pengawal Fatwa-Majlis Ulama Indonesia) pantas disambut seluruh umat Islam turun ke jalanan membantah kedajalan Ahok. Mobilisasi berjaya menghimpun 2.5 juta umat Islam dari seluruh Indonesia.

Demonstrasi yang awalnya aman bertukar kecoh apabila provokasi dicetuskan menentang pasukan keselamatan. Kenderaan polis dibakar, polis bersenjata diserang dan menyerang, komando dan tentera dilibatkan malah ada yang maut. Dijangkakan sekiranya Jokowi tidak dapat menyelesaikan isu Ahok dengan cara yang memuaskan hati umat Islam, kemungkinan besar demonstrasi yang lebih besar akan diadakan.

Penghinaan Ahok terhadap agama memang patut dibantah. Ini adalah bukti iman di hati. Namun dalam keadaan kuasa-kuasa besar dunia yang terdesak mencari pengaruh memperkuatkan blok mereka, segala tindakan perlu diatur secara cermat agar tidak dimanipulasi untuk kepentingan tertentu.

Manipulasi pihak berkepentingan sangat mudah berlaku dengan jumlah demonstran menjejah jutaan orang itu. GNPF-MUI hanya bertindak sebagai koordinator demonstrasi tidak mampu mengawal jutaan demonstran yang datang dari berbagai kumpulan. Masing-masing memiliki kepimpinan tersendiri dan banyak yang bertindak atas inisiatif sendiri. Walaupun himpunan dikawal selia oleh laskar Front Pembelaan Islam (FPI) pimpinan Habib Rizieq yang berperanan seperti Jabatan Amal milik PAS, namun bukan semua yang turun itu mampu mengikut koordinasi yang ditetapkan. Keadaan tidak terkawal berlaku di banyak tempat.

Ahok adalah gabenor lantikan Presiden Jokowi. Dari sudut hubungan antarabangsa, Jokowi memilih untuk rapat dengan Rusia, China dan juga Amerika. Pendirian Indonesia ini sangat tidak menyenangkan barat terutama selepas Presiden Filipina memutuskan hubungan dengan Amerika dan secara jelasnya memihak kepada blok timur. Kini kuasa barat di rantau ini hanya bergantung kepada Singapura sahaja.

Faktor ini sangat penting untuk dinilai dalam menilai tempo demonstrasi. Amat dibimbangi ianya akan terjadi seperti Arab Spring; barat menjadikannya sebagai cara untuk mengganggu negara umat Islam demi survival mereka, sama ada memaksa Jokowi berpindah ke blok mereka atau digantikan Jokowi dengan barua mereka.

Polisi luar Indonesia tidak banyak berbeza dengan Malaysia. Justeru ancaman barat terhadap kestabilan negara ini juga perlu diambil kira. Himpunan gergasi yang tidak memiliki kawalan rapi dari penganjur perlu dielakkan. Selain itu nasihat Tuan Guru Presiden dalam Parlimen tentang TPPA perlu dinilai sebaiknya. Pendedahan terbaru hos TV al-Hijrah melalui rakaman suara baru-baru ini juga perlu diambil perhatian.

Sudah tiba masanya pihak kerajaan berani menyatakan pendirian untuk berpihak. Jika tidak bimbang negara kecil ini akan menjadi ibarat gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah.

Mungkin ramai yang masih belum sedar, kuasa-kuasa besar kini sangat agresif mempersiapkan ketenteraan mereka. Amerika mengumumkan senjata laser menggantikan senjata api, Rusia melancarkan peluru berpandu gergasi, Iran semakin rancak dengan teknologi nuklear, pemimpin Israel pula semakin kerap ulang alik ke Amerika.

Di antara perkara menarik adalah kritikan hebat pendukung Pakatan Harapan terhadap kebangkitan rakyat di Indonesia itu. Ironinya PH juga sedang berhempas pulas menyeru rakyat ke jalanan menjayakan Bersih 5. Sebab kritikan mereka adalah kebangkitan rakyat ini lahir dari kesedaran agama, sedangkan perjuangan Bersih 5 bukan atas nama agama.

Pemikiran Ahok juga boleh disamakan dengan pendirian DAP dan beberapa NGO pendukung Bersih 5 lain. Jadi untuk tidak menyinggung DAP dan sekutu, amat tidak wajar mereka untuk menyokong kebangkitan rakyat ini. Bezanya DAP belum menjadi pemerintah. Entah apa pula nasib umat Islam negara ini andai parti cauvinis itu berkuasa.

Bersih 5 perlu tahu bahawa kebangkitan rakyat di negara ini hanya boleh berlaku dengan kesedaran agama. Kalau Indonesia yang memiliki beratus kumpulan, parti dan jemaah Islam boleh bersatu dalam aksi damai ini, tentulah Malaysia yang tidak begitu banyak pecahan dan didominasi oleh PAS lebih mudah dilakukan. Kesedaran dan perkembangan Islam di negara kita berlipat kali lebih baik dari negara jiran.

Mungkin kerana itulah mereka masih mengharap agar PAS menyertai himpunan ini. Berbagai cara digunakan daripada mengajak, berunding, merayu, mencabar, mengugut sehinggalah menggunakan kaedah syarat semata-mata mahu PAS bersama. Mereka sedar tanpa PAS, Bersih 5 tiada makna. Sehingga kini tarikh Bersih 5 pun masih ramai yang belum tahu.

Mungkin juga ajakan ini kerana membutuhkan khidmat Jabatan Amal Malaysia yang terbukti cemerlang dalam mengawal selia demonstran. Setakat ini belum ada jentera sukarelawan yang mampu menyaingi khidmat Jabatan Amal. Atau mungkin juga kerana mahu memerangkap PAS. Sejarah telah menunjukkan, gerakan Islam sering kali menjadi kambing hitam sementara pihak lain pula dengan senang mencuci tangan atau mengecapi kejayaan tanpa perlu bersusah payah.

Kesimpulannya kepada Indonesia atau Malaysia, dalam keadaan dunia yang genting ini umat Islam wajib bersatu di bawah kepimpinan yang berlandaskan agama. Hanya Islam yang boleh menyatukan umat Islam. Tanpa kesatuan, amat mudah bagi musuh untuk menyelinap dan memporak perandakan kita.

Tempoh ini bukan lagi untuk berbalah soal wahhabi sunni. Bukan lagi masanya untuk berada di zon selesa tanpa mempeduli isu politik. Inilah zaman fitnah yang pernah ditanya oleh Huzaifah al-Yaman, sehingga Nabi SAW meninggalkan sebuah pesanan berharga sebagai solusi:تلزم جماعة المسلمين  وإمامهم

"Wajiblah kamu bersama jemaah Islam dan pemimpin mereka."

Share on Myspace