Bajet 2017: Memilih berkecuali itu hak PAS

ROSLAN SMS | .

BAJET 2017 ataupun Rang Undang-undang Perbekalan telah diluluskan diperingkat dasar di Dewan Rakyat pada jam 10.15 malam tadi setelah berlaku undi belah bahagi.

Speaker Dewan mengumumkan seramai 117 ahli telah menyokong, 70 menolak dan 11 tidak mengundi.

Dan sekali lagi sebagaimana buat Bajet 2016 yang lalu, ahli-ahli Parlimen PAS telah mengambil sikap berkecuali. Ini bukan kali pertama PAS berbuat demikian.

Mengapa berkecuali?

Sebelum itu kita kena faham amalan demokrasi dan kebebasan bersuara.

Sebagai sebuah parti politik PAS berhak mengarahkan wakilnya sama ada menyokong, menolak atau bersikap berkecuali bukan sahaja terhadap Bajet ini tetapi terhadap apa perkara sekalipun di Parlimen.

Pastinya sikap itu mencerminkan pendirian dan sikap parti dan pastinya PAS punya alasannya tersendiri.

Apapun mendakapi amalan demokrasi dan kebebasan bersuara, apa sahaja sikap dan pendirian PAS itu sewajarnya dihormati. Itu hak PAS.

Sikap berkecuali PAS ini menunjukkan bahawa PAS tidak menyokong BN dan begitu juga tidak bersama pakatan pembangkang yang menolak Bajet berkenaan.

Sesungguhnya PAS memilih untuk berkecuali kerana ada perkara yang dicadangkan di dalam Bajet berkenaan pada pandangan PAS perlu sampai ke rakyat umpamanya belanja pengurusan selain peruntukkan pembangunan yang asas. Namun demikian ada perkara-perkara yang PAS bantah, dan ini telah dilakukan melalui perbahasan wakil-wakilnya dengan mengemukakan cadangan balas.

PAS mahu memain pernanan sebagai pembangkang yang konstruktif bersesuaian dengan konsep amar makruf nahi mungkar yang ditegakkan oleh Islam dan PAS akan terus menekankan konsep ini semasa Bajet ini diperingkat Jawatankuasa nanti.

Pada dasarnya sikap PAS ini adalah berasas, bukan bermakna PAS menyokong BN kerana jika menyokong PAS sepatutnya mengundi menyokong, tidak juga sebagaimana sikap blok pembangkang yang lain yang menentang tetapi di dalam perbahasan memohon itu dan ini.

PAS merasakan rakyat Malaysia dahaga pada politik yang matang dan sejahtera kerana itulah PAS memilih untuk berkecuali.

PAS bukan lagi anggota Pakatan Rakyat yang telah pun terkubur. PAS tidak menyertai Pakatan Harapan, yang memilih untuk menolak Bajet 2017 ini. Lalu tiada pihak yang boleh memaksa atau menuntut PAS agar ikut sikap dan jejak mereka. PAS bebas dan berhak bertindak lantaran ia tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Tindakan PAS adalah memilih untuk berkecuali, lalu hormatilah pilihan PAS, itu hak PAS. – HARAKAHDAILY 8/11/2016

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Pusat

Share on Myspace