PAS Jabi sumbang RM17,000 biaya pembedahan Remzi

DR AZMAN IBRAHIM | .

Insiden malang tak berbau pada 17 Oktober 2016 menimpa seorang warga Dun Jabi, Remzi Husain, 44, dari Kampung Jebak Puyoh Kerandang.

Ketika sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumah bagi persiapan majlis perkahwinan anak perempuan sulungnya, beliau terjatuh dari bumbung rumah dengan ketinggian kira-kira 12 kaki.

Kecederaan yang dialami Remzi agak parah. Kecederaan di bahagian kepala, patah tulang rusuk, patah di kedua-dua belah lengan termasuk yang paling parah ialah patah pada bahagian tulang belakang yang turut melibatkan kecederaan pada saraf tunjang.

Beberapa hari beliau terlantar di Wad ICU Hospital Universiti Sains Malaysia sebelum dipindahkan ke Wad 2 Zamrud HUSM.

Kecederaan yang agak parah menimpa Remzi memerlukan kos yang agak besar bagi menampung biaya pembedahan terutamanya bagi pembedahan merawat kecederaan tulang belakang. Anggaran awalnya sebanyak RM24,000.

Kos RM24,000 adalah sangat besar bagi seorang tukang rumah dengan pendapatan yang tak seberapa seperti Remzi.

PAS Jabi telah mengambil tanggungjawab menubuhkan 'Tabung Perubatan Remzi' bagi tujuan mengumpulkan dana agar pembedahan boleh dilakukan dengan segera.

Untuk peringkat awal, sebanyak RM17,000 disalurkan dari Tabung Perubatan Remzi ini untuk membayar barangan perubatan yang dibekalkan oleh pembekal bagi membolehkan pembedahan dilakukan dengan seberapa segera di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Tentu sekali beliau akan melalui tempoh pemulihan yang panjang serta rawatan susulan yang memerlukan banyak lagi biaya.

Bagi pihak PAS Dun Jabi, saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang yang bermurah hati menghulurkan sumbangan dan derma. Semoga Allah mengganjari segala kebaikan ini.

Semoga Remzi dan seluruh keluarga bersabar atas musibah yang menimpa. PAS Jabi mengambil tanggungjawab untuk bersama menyantuni kebajikan keluarga Remzi sebaik mungkin.

Dalam masa yang sama kita berharap agar urusan rakyat yang ditimpa musibah seperti Remzi untuk memohon bantuan dari pihak Kerajaan Negeri Terengganu seperti Tabung Darul Iman dipermudahkan tanpa karenah birokrasi yang rumit.

Rakyat yang sedang menghadapi saat-saat sukar sebegini perlu disantuni dan dipermudahkan urusan mereka. Apatah lagi kecederaan parah sebegini memerlukan pembedahan segera. Kebajikan itu bermakna mempermudahkan.

DR AZMAN IBRAHIM
Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi
8 November 2016 - HARAKAHDAILY 8/11/2016

Share on Myspace