Gerangan yang benar-benar mahukan PAS-Umno bersatu

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Ada dua gerangan yang benar-benar mahukan PAS-Umno bersatu.

Pertama, yang mahukan Umno kekal memerintah dan PAS turut berada dalam kerajaan campuran sebagai rakan. Dengannya Umno-BN kekal selamat.

Kedua, yang mahukan PAS hancur bersama Umno akibat bersekongkol dengan kerosakan dan kezaliman Umno-BN yang kian ditolak rakyat. Dengannya, mereka akan berjaya membina kerajaan baru tanpa PAS dan perjuangan Islam.

Saya berkata, PAS terlalu menyedari tipu daya dan makar ini. PAS tidak akan terjebak dengan politik murahan yang terlalu 'kedarah kuasa' sebegini. Bahkan PAS akan sentiasa memburu kuasa politik  dengan sejahtera dan berdisiplin tinggi tanpa merosakkan kesatuan umat dan segala kebaikan yang telah sedia tumbuh mekar di bumi Malaysia ini.

Umat Islam mestilah berpolitik cara Islam. Cara Islam ialah pengajaran apa yang terkandung di dalam al-Quran, al-Sunnah dan praktis Islami yang bermula daripada sirah al-Rasul صلى الله عليه وسلم, sirah khulafa' rasyidin dan sirah para ulamak muslihin terdahulu yang terbukti melalui kefaqihan, dakwah, jihad dan kasih sayang mereka membela nasib dan survival umat Islam daripada kerosakan dan kesesatan canangan musuh agama.

Ada gerangan ketiga yang juga benar-benar mahukan PAS dan Umno bersatu. Mereka ialah gerangan yang benar-benar mahukan kesatuan umat Islam di atas tali agama, lalu mampu memerintah bersama.

Saya berkata, PAS matlamatnya ialah menyatukan umat di atas tali agama Islam yang kukuh dan lurus. PAS bukan untuk orang PAS. PAS adalah untuk umat Islam dan seluruh rakyat.

Kepada yang ikhlas menanti dan mengharap, saya berpesan, bersamalah berjuang. Tiada perjuangan tanpa kesabaran. Tiada kesabaran tanpa kesakitan dan keperitan. Penyakit umat masih banyak. Kejahilan, keakuan, kesempitan fikir, kedegilan, keengganan, kepura-puraan, ketakutan dan kebusukan hati masih memanjang dan menggigit keaslian dan kejatidirian umat.

Hadiah Allah daripada kesembuhan itu adalah kesatuan umat. Kesatuan itulah sumber kekuatan.

Justeru, janganlah berangan-angan untuk segera bersatu padu jika kita enggan berubah fikir dan minda lslu membaiki tindakan diri. Terus bersama berjuang untuk umat tercinta dan berimpianlah dengan kemenangan Islam yang pasti.

Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 8/11/2016

Share on Myspace