Jazeera pilih 15 peserta untuk dibawa ke Qatar

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Seramai 60 peserta termasuk dari Singapura dan Indonesia menyertai saringan pemilihan qari musabaqah al-Quran Antarabangsa anjuran Tijan An-Nur Jazeera Children Channel (JCC).

Peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia sembilan hingga 13 tahun akan dipilih untuk bersaing dengan peserta dari 50 negara.

Penerbit Program Tijan An Nur Jazeera Children Channel (JCC) Sheikh Ahmad Yusof Al Maliki berkata, peserta Malaysia diharap lebih ramai dipilih berbanding sebelum ini.

“Seramai 15 peserta dari Malaysia yang terpilih akan dibawa ke Qatar.

“Di sana mereka akan melalui proses saringan dua peringkat lagi bagi melayakkan menyertai musabaqah tersebut,” katanya ketika ditemui di sini.

Turut menyertai pertandingan itu, johan Qari Jr Musim Ke-5, Ahmad Naufal Fauzi, 12 dari Kelantan.

Setiap peserta memperdengarkan bacaan di hadapan bekas Ketua Umum Qari-Qari Mesir, Sheikh Dr Ahmad Isa Al Mi’Sarawi.

Turut hadir imam tarawih Madinah Ramadan, Sheikh Hisyam Abdul Bari juga berasal dari Mesir.

Proses saringan itu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang diadakan di sebuah hotel di sini.

Sheikh Ahmad berkata program itu diadakan bertujuan mencungkil bakat kanak-kanak dalam bacaan al-Quran di seluruh dunia.

Program itu merupakan kali ke enam akan diadakan di Qatar. – HARAKAHDAILY 8/11/2016

Share on Myspace