Kg Warisan: Penduduk perlu bertindak rasional

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Pelbagai pihak di sini meminta penduduk yang terbabit projek Kampung Warisan di Kampung Laut memikir secara rasional kepentingan program pembangunan di kawasan tersebut.

Kata mereka, penduduk yang terbabit projek berkenaan diberi lot baharu di tempat berdekatan serta dibayar pampasan tanah dan rumah yang ada sekarang.

Sedangkan dalam banyak situasi di negeri-negeri lain penduduk diarah berpindah tanpa dibayar pampasan setimpal dan tidak diberi lot gantian.

Presiden Pertubuhan Royalti Kelantan (R) Nazri Deraman berkata, pihaknya menyokong pembangunan yang boleh memberi kebajikan serta manfaat kepada rakyat.

"Saya nampak projek Kampung Warisan akan memberi faedah kepada penduduk Kampung Laut juga apabila menjadi kunjungan pelancong apabila dibangunkan secara lebih tersusun," katanya.

Projek Kampung Warisan dirancang kerajaan negeri sejak Julai 2014. Program berkenaan dimasukkan perancangan program Transformasi Ekonomi Sempadan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Ia akan dibiayai sepenuhnya Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER) dengan kos lebih RM30 juta.

Pembangunan projek itu melibatkan tanah milik penduduk seluas 2.18 ekar dan tanah kerajaan 0.3 ekar. Tanah dimiliki penduduk membabitkan tujuh lot, 13 rumah dan sebuah kandang kambing.

Sebanyak 13 penduduk yang terbabit dengan pengambilan semula akan disediakan lot baharu di sebelah jalan utama dengan keluasan 5,000 kaki persegi setiap lot.

Baru-baru ini sekumpulan penduduk mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim bagi membantah projek Kampung Warisan.

Nazri berkata kerajaan berhak mengambil mana-mana tanah terlibat berpandu prosedur dalam Akta Pengambilan Tanah 1960.

"Kerajaan berhak mengambil tanah untuk kepentingan awam atau komersil, tetapi penduduk juga berhak menyatakan pandangan," jelas beliau.

Aktivis masyarakat Kampung Pulau Seratus, Roslan Ismail turut menyambut baik projek usahasama kerajaan negeri dan pusat itu.

Oleh itu katanya, penduduk yang kurang jelas terhadap projek berkenaan perlu datang ke Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat untuk mendapat pencerahan.

Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang masih ada penduduk yang keliru kerana terpengaruh dengan pihak tertentu. - HARAKAHDAILY 9/11/2016

Share on Myspace