Pemuda PAS mahu Pulau Pinang segera atasi banjir

AHMAD SAFUAN UJAR | .

Allah berfirman, maksudnya: Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (Surah Ar-Rum: ayat 41)

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) mengingatkan kerajaan negeri untuk tidak mengamalkan sikap tuding menuding dalam menangani isu banjir yang semakin kerap terjadi sejak akhir-akhir ini.

Sebaliknya kerajaan negeri harus bertanggungjawab secara langsung memandangkan kejadian banjir yang berlaku adalah kesan langsung daripada aktiviti pembangunan yang rakus di lereng-lereng bukit dan di kawasan penambakan laut.

Lebih malang lagi, projek-projek tersebut bukanlah dilaksanakan untuk menjawab keperluan sebenar penduduk negeri sebaliknya hanya bagi menenuhi kehendak pasaran hartanah mewah.

Umpamanya projek apartmen mewah di kawasan Teluk Kumbar telah memusnahkan sebahagian bukit di situ hingga banjir kerap terjadi sedangkan sebahagian besar unit-unit rumah tersebut masih kosong tidak berpenghuni.

Namun, natijah daripada kerosakan alam sekitar yang berlaku turut sama menjejaskan kehidupan segenap lapisan rakyat termasuk penduduk luar bandar yang rata-rata berpendapatan rendah.

Sebenarnya siri kejadian banjir yang berlaku di negeri ini bukanlah semata-mata kerana hujan lebat sahaja.

Sebaliknya faktor utama kejadian banjir yang kerap adalah kerana aktiviti pembangunan yang tidak terkawal di kawasan tanah tinggi yang menyebabkan air hujan mengalir dalam kadar isipadu yang tinggi turun deras ke kawasan tanah rendah akibat ketiadaan pokok-pokok kayu sebagai penampan.

Contohnya kawasan seperti di Batu Maung yang dahulu hanya mengalami banjir sekali sahaja dalam tempoh 5 ke 10 tahun, kini berdepan kejadian banjir sekerap 3 ke 4 kali dalam masa 2 minggu sahaja.

Tidak cukup dengan itu, air yang mengalir turut membawa bersama tanah lumpur ke kawasan kediaman penduduk khasnya di kampung tradisi.

Keadaan sistem saliran yang sempit ditambah pula dengan faktor aktiviti penambakan laut telah memburukkan lagi kejadian banjir di kawasan terjejas.

Keadaan air banjir yang berlumpur ibarat 'warna teh tarik' bukan sahaja jelas kelihatan di kawasan penempatan penduduk malah turut mewarnai air di muara sungai dan pinggir pantai.

Ini jelas menunjukan betapa bukit bukau di negeri ini telah begitu teruk digondolkan sehingga menjejaskan sistem aliran air semula jadi dan akhirnya mengakibatkan pemendakan tanah lumpur di dalam sungai dan laut.

Kesan lanjut daripada hal terbabit adalah kemusnahan habitat hidupan laut yang pastikan akan menjejaskan aktiviti para nelayan pantai.

Selain itu, penggondolan bukit juga telah mendedahkan rakyat kepada risiko tanah runtuh seperti di Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Paya Terubong, Relau, Batu Feringgi, Mount Erskine, Teluk Bahang dan Balik Pulau.

Kesemua kejadian malang yang telah disebutkan menjadi bukti nyata bahawa kerajaan negeri gagal dalam memastikan pembangunan lestari dan mampan diamalkan di negeri ini.

Sebaliknya kerajaan negeri pimpinan DAP sibuk mengkritik hal ehwal negeri lain ibarat kata 'kuman seberang laut nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak'.

Justeru itu, DPPNPP sekali lagi menyeru kerajaan negeri untuk menghentikan dengan segera segala projek pembangunan di lereng bukit dan juga aktiviti penambakan laut kerana telah merugikan penduduk negeri ini.

Sebaliknya kerajaan negeri harus mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah banjir termasuk berganding bahu dengan pihak berwajib untuk memperbaiki sistem saliran dan perparitan termasuk sistem tebatan banjir.

DPPNPP juga menggesa agar tabung bencana khas ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan para pemaju yang terlibat harus bertanggungjawab untuk membayar pampasan dan ganti rugi kemusnahan harta benda kepada para penduduk terlibat.

Sudah cukuplah rakyat biasa yang langsung tidak mendapat manfaat daripada aktiviti pembangunan hartanah mewah di lereng bukit menjadi mangsa banjir setiap kali hujan lebat turun. - HARAKAHDAILY 9/11/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang. 

Share on Myspace