Teliti tindakan Adun Salor dedah rahsia kerajaan

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan mengenakan tindakan terhadap Adun Salor, Datuk Husam Musa ekoran pendedahannya berkaitan maklumat yang diklasifikasi sebagai rahsia kerajaan.

Anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Fattah Mahmood berkata usaha tersebut sedang dilakukan kerajaan dan parti.

"Kita ada Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan perkara ini jelas, kita kena pastikan, tidak boleh hendak sebut sebarangan," katanya selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sebelum ini Husam yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri mendedahkan pelbagai isu berkaitan kerajaan negeri termasuk projek lebuh raya rakyat dan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK).

Maklumat itu dipercayai diperolehi ketika masih berkhidmat sebagai anggota Exco.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden PAS itu mendedahkan pelbagai perkara yang dikatakan sebagai rahsia rasmi kerajaan termasuk dalam persidangan Dun dan ceramah umum.

Baru-baru ini Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilapor memberitahu Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap mungkin melanggar sumpah kerahsiaan semasa berbahas di parlimen membangkit isu 1MDB.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan berkata, beliau belum mendapat maklumat rasmi perletakan jawatan Tan Sri Anuar Musa sebaga Presiden Kafa. - HARAKAHDAILY 9/11/2016

Share on Myspace