Lasak bukan bertujuan untuk saingi Bersih 5

HARAKAHDAILY | .

Himpunan Ledakan Suara Rakyat (Lasak) anjuran PAS Selangor pada 13 November ini bukan bertujuan untuk menyaingi Bersih 5.

Lasak akan berlangsung di Padang Awam, Jalan PJS 2D/17, Taman Medan, Petaling Jaya dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Program hari itu akan menghimpunkan wakil-wakil dari pelbagai kelompok rakyat yang akan meluahkan hasrat hati mereka.

Di antara yang akan berucap adalah wakil-wakil anak muda, pendidik, wanita, veteran tentera, pekerja, peniaga kecil, petani, nelayan, penggiat seni, pembeli rumah dan mahasiswa.

Himpunan ini adalah penting kerana terdapat beberapa perkembangan terkini negara yang akan memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

Adalah penting masalah-masalah yang membelenggu rakyat itu diberi perhatian terutamanya oleh pemimpin rakyat dan pemimpin kerajaan.

PAS Selangor akan membawa masalah-masalah serta cadangan-cadangan untuk penyelesaiannya kepada sidang Parlimen atau kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Negeri atau Exco-Exco PAS.

Adalah secara kebetulan Lasak dianjurkan seminggu sebelum Bersih 5. Tarikh 13 November dipilih kerana ianya adalah sejurus selepas Bajet Kerajaan Persekutuan dan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor dibentangkan. Ia akan memberi peluang kepada rakyat untuk menyatakan pandangan mereka terhadap bajet dan belanjawan tersebut.

Kami juga menggesa agar orang ramai hadir beramai-ramai ke Lasak sebagai tanda solidariti bersama rakyat marhaen yang berhadapan dengan kesempitan hidup di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Hashim Jasin akan memberi ucapan penutup pada himpunan tersebut. Ini merupakan ucapan sulung beliau sebagai Mursyidul Am pada program PAS Selangor.

Datuk Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
9 November 2016 - HARAKAHDAILY 9/11/2016

Share on Myspace