Barang naik: Kesal sikap ustaz hanya saran berdoa

HARAKAHDAILY | .

HARGA BARANG NAIK: KESAL DENGAN SIKAP USTAZ YANG HANYA MENYARANKAN BERDOA DAN BERSYUKUR

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor kesal dengan tulisan segelintir asatizah yang hanya menganjurkan konsep tawakal dengan cara berdoa dan berserah diri kepada Allah semata-mata, tanpa disusuli dengan tindakan pencegahan yang sebenarnya turut dianjurkan oleh Islam di saat Laporan Audit Negara yang menunjukkan saban tahun ketirisan demi ketirisan ekonomi negara, jelas membuktikan kerakusan juga keborosan sang pemerintah.

Perkara pertama yang harus diteliti juga menjadi persoalan utama ialah, siapa yang menjadi mangsa terbesar di sebalik beberapa siri pengumuman harga barang di Malaysia? Sudah pasti golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana yang terpaksa menanggungnya, bukankah mereka sedang dizalimi? Bukankah Islam melarang sebarang bentuk kezaliman? Sedarkah kita, dengan kenyataan kita itu menyebabkan mereka terpaksa menelan segala kezaliman juga kesengsaraan demi menjaga kepentingan golongan tertentu.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor menyarankan agar asatizah berkenaan berhati-hati atau terus berhenti dari mengelirukan masyarakat golongan marhaen dengan pendapat-pendapat yang terbukti menyeleweng dan hanya membodek sang penguasa supaya terus mengiakan sikap tamak rakus mereka untuk terus bersikap demikian.

Akhir sekali, Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor menggesa kerajaan agar tidak terus boros berbelanja dengan mengenepi kesan kesengsaraan rakyat yang terpaksa menanggung ketirisan demi ketirisan yang akhirnya merugikan Negara Malaysia yang tercinta, sudah tiba masanya untuk kita menerima sistem pengurusan ekonomi Islam secara keseluruhannya yang terbukti mampu menangani krisis-krisis integriti ketirisan seperti rasuah, pecah amanah, pembaziran, kronisme dan sebagainya.

Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
9 November 2016 - HARAKAHDAILY 9/11/2016

Share on Myspace