Denda pelajar: Pemuda PAS sedia bincang dengan KPM

HISHAMUDDIN MUSTAFA | .

Jabatan Pembangunan Pelajar (JPP) Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) terasa terpanggil untuk memberikan respons berkenaan isu pelajar SMK Taman Tun Dr Ismail yang didenda duduk di atas jalan kerana lewat ke perhimpunan sekolah.

JPP DPPM memandang isu denda dan hukuman pelajar ini mesti diselesaikan dengan menyusun semula garis panduan disiplin pelajar dengan lebih jelas dan mempunyai nilai pendidikan mengikut Islam.

Penyusunan semula garis panduan yang jelas ini akan membantu pihak sekolah melaksanakan tugas mendidik kepada pelajar dengan lebih efisien. Tidaklah menjadi pertikaian oleh ibu bapa pada kemudian hari.

Akibat tiada garis panduan yang jelas, hari ini wujud pertikaian dari ibu bapa yang menyatakan tindakan denda duduk atas jalan dalam kawasan sekolah adalah tindakan yang keras dan tidak wajar. Sepatutnya persoalan keras dan tidak wajar ini tidak timbul sekiranya ada garis panduan yang jelas.

Sewajarnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dijadikan satu medium untuk guru dan ibu bapa saling memahami berdasarkan garis panduan yang tersedia tadi. Peranan PIBG ini penting bagi meredakan sebarang permasalahan antara guru dan ibu bapa. Jangan sampai akibat pertikaian antara guru dan ibu bapa yang berterusan ini akan memangsakan para pelajar.

Oleh itu, Jabatan Pembangunan Pelajar, DPPM menyatakan kesediaan kami untuk bersama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berbincang dan menyusun kembali garis panduan disiplin pelajar mengikut acuan dan garis panduan dalam Islam agar guru dan ibu bapa dapat bekerjasama dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik kepada anak dan pelajar.

”Bertekad Melebar Muafakat”
”Inilah Penyelesaian Kita”   

HISHAMUDDIN MUSTAFA
Pengarah Jabatan Pembangunan Pelajar DPPM
10 November 2016 | 10 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 10/11/2016

Share on Myspace