Masalah air berpanjangan kerana sikap tidak telus

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT | .

KERAJAAN Negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah jelas cuai, lembab dan tidak bersungguh mengurus perbekalan perkhidmatan air yang hingga kini masih ditakuk lama. Sebaliknya lebih selesa mengulang janji dan nafi.

Sedangkan penduduk yang tidak menerima bekalan tetap terperuk dengan masalah tidak ditangani sewajarnya. Malah, exco berkenaan iaitu Datuk Badrol Hisham Hashim jelas sambil lewa dan seakan memperolokkan rakyat.

Tidak perlu membodohkan orang awam dengan penyataan mengenai paras empangan. Semua maklum Kedah punya bekalan air mentah mencukupi dan tidak berada dalam krisis. Bahkan mampu beri untuk keperluan Pulau Pinang dan Perlis.

Tetapi seperti diakui sendiri beliau iaitu masalah yang dihadapi adalah teknikal. Jika tidak mampu menangani masalah teknikal ini yang sudah berbulan-bulan, ada baiknya Badrol meletakkan jawatan, itu sahaja tindakan bermaruah.

Kerana pihak kerajaan sendiri menjanjikan langkah-langkah yang digariskan sejak Julai lalu, selain mendakwa hanya melibatkan peratusan kecil pengguna. Bermakna pada langkah yang digariskan, sama ada tidak selaras permasalahan atau perkhidmatan diberikan tidak capai ketetapan.

Penubuhan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh kerajaan hanya umpama hangat-hangat tahi ayam. Gah berkokok diawal pengisytiharan, tetapi hasil tetap juga tidak menjejak terhadap masalah dihadapi rakyat. Tindakan populis yang sekadar cuba mengaburi mata dan meredakan kemarahan rakyat.

Sedangkan air ini keperluan setiap waktu, bukan kegunaan mingguan atau bulanan. Jadi pihak kerajaan telah gagal dan ini menjadi pengajaran paling berguna, bahawa natijah yang berlaku hari ini berpunca salah urus di masa lalu.

Semua berkaitan perbekalan perkhidmatan air di Kedah sepanjang zaman pentadbiran BN bergelumang skandal. Banyak wang dihabiskan, bahkan diberi peruntukan tambahan, tetapi infrastruktur dibina tidak ikut spesifikasi dan perkhidmatan tidak memenuhi sasaran.

Perkara ini nampaknya akan kembali berulang. Kini pihak kerajaan sedang menagih peruntukan Persekutuan lagi. Ketika sama, perjanjian dengan pihak operator berkaitan yang terbukti tidak menguntungkan, sudah ada kecenderungan kontraknya akan disambung.

Hingga sekarang kerajaan tidak berani memuktamadkan pendirian. Asyik berkira-kira seperti ini selalunya berakhir dengan segala masalah disapu bawah karpet. Rakyat juga yang terus merana. Tetapi yang untung, dapat komisyen atau masuk poket adalah pemimpin BN dan kroni mereka.

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
10 November 2016/10 Safar 1438 – HARAKAHDAILY 10/11/2016

Share on Myspace