Ada NGO tiba-tiba muncul di sebalik isu sekat laluan balak

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Isu sekatan laluan lori balak di pedalaman Gua Musang kini memasuki babak baharu apabila ada NGO secara terus terang muncul bagi menghangatkan lagi suasana.

Lebih pelik juga NGO yang difahamkan tidak berdaftar juga tampil mahu membela masyarakat Orang Asal, kononnya produk hutan dimusnahkan.

Hari ini R Malaysia turut disenaraikan bersama 28 NGO, menamakan mereka sebagai kumpulan masyarakat sivil dan NGO, menyerah memorandum setebal tiga muka kepada wakil kerajaan negeri.

Memorandum itu diserah aktivis PSM Kelantan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Wan Roslan Wan Hamat. Turut kelihatan aktivis-aktivis Parti Amanah Negara (PAN).  

Mereka juga sebelum ini acap kali memaparkan gambar bersama masyarakat Orang Asal di kawasan sekatan laluan balak dan perkampungan Orang Asli di laman sosial.

Wan Roslan berkata, berdasar kepada kronologi isu sekatan laluan lori balak di Gua Musang sejak akhir September lepas seperti kelihatan ada pihak yang berada di sebalik tabir.

“Kita bukan menuduh sesiapa, namun berdasar gerak kerja dan aktiviti beberapa individu yang datang bersama menyerah memorandum hari ini, memberi peluang orang ramai membuat tanggapan sendiri.

“Masyarakat Orang Asal yang hidup tanpa sebarang gangguan di penempatan mereka sebelum ini, tiba-tiba membuat sekatan laluan lori balak.

“Ini memperlihatkan ada pihak yang berada di belakang tabir. Mungkin mereka tidak sedar usaha yang dibuat kerajaan negeri membela nasib masyarakat Orang Asal sejak dahulu lagi,” katanya.

Menurutnya sehingga sekarang sebahagian masyarakat Orang Asal di Kuala Betis dan Sendrop mendapat surat hak milik tanah lot kediaman.

Selain itu hampir 300 penduduk Orang Asal mendapat bantuan dividen Ladang Rakyat sebanyak RM200 sebulan.

Kerajaan negeri juga meluluskan kawasan seluas hampir 10,000 ekar sebagai rezab Orang Asal di Gua Musang dan Jeli.

Mungkin juga pihak terbabit juga tidak menyedari Sistem Torren yang diamalkan di Malaysia hanya memberi perakuan terhadap tanah yang didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Tanah sahaja.

Dan tanah Orang Asal yang diwarisi dari generasi ke generasi tidak termasuk dalam sistem pendaftaran mengikut undang-undang tanah Malaysia di bawah Kanun Tanah Negara 1965. – HARAKAHDAILY 10/11/2016

Share on Myspace