Hentam PAS, apa ada pada PAS?

USTAZ IDRIS AHMAD | .

PAS parti kerdil sahaja. Pemimpinnya pak lebai. Ahlinya orang kampung. Pengikutnya marhaen. Mereka ikut PAS kerana dasar. Bukan taksub kepada pemimpin. Ahlinya taat selagi pemimpin taat kepada Allah, Rasul dan jamaah. Inilah batas sempadannya.

Pelik juga manusia yang tidak suka PAS. Siang malam hentam PAS. Hentam PAS, kadang-kadang lebih teruk daripada hentam Umno BN. Seolah-olah hilang fokus. Seolah-olah PAS ini hebat dan kuat. Sedangkan PAS tidak perintah negara. Tidak memiliki media yang hebat. Tidak ada cybertrooper yang handal yang tidak takut kepada sesiapa. Kita tidak mampu membiyai cybertrooper yang bekerja 24 jam setiap hari. Tidak ada wang RM90 juta.

Dalam masa yang sama menuduh PAS tidak ada masa hadapan. Ramai orang keluar PAS dan berhijrah ke parti lain. Anak muda tidak bersama PAS. Golongan profesional lari daripada PAS. Peliknya, setiap detik hentam PAS. Tidak guna lawan orang yang lemah seperti PAS.

Kalau PAS lemah, tidak ada nilai, tidak ada harga. Maka tidak perlulah ambil tahu berkenaan PAS. Biarlah apa PAS hendak buat suatu pendirian. Kalau rugi pun PAS, bukan orang lain. Anggaplah PAS ada seperti tiada, barulah kamu senang hati. Binalah kekuatan sendiri, anggaplah PAS tidak ada dipersada politik tanah air. Kepala pun tak sakit. Umno pun pening kepala menghadapi PAS.

Tidak ada untung pun kalau lawan PAS. Sikap PAS tidak akan berubah. PAS sudah 65 tahun melawan Umno BN. PAS sudah 13 kali sertai pilihan raya. Selama 65 tahun ada yang tahan diuji dan ada yang tidak tahan. Berapa ramai pemimpin PAS dan wakil rakyat PAS tidak mengakhiri hayat mereka bersama PAS. Adakah PAS mati?

Walaupun mereka harap PAS akan berkubur, alhamdulillah PAS masih segar bugar seperti rumput yang segar selepas disiram embun. PAS seperti gadis sunti, semuanya hendak melamar. Hasbunallah wani'mal wakil. - HARAKAHDAILY 11/11/2016

Share on Myspace