Trump menang bimbangkan masyarakat dunia

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: PAS Kelantan melahirkan kebimbangan terhadap pemikiran masyarakat Amarika Syarikat apabila sanggup memberikan kemenangan kepada Donald Trump.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Md Nawi, memberitahu perkembangan itu amat menggusarkan masyarakat dunia apabila rakyat Amerika Syarikat sanggup memilih calon dari parti Republikan itu.

“Walaupun pendedahan demi pendedahan dilakukan berhubung skandal yang pernah dilakukan Trump, namun tidak menjadi masaalah bagi mereka kini,” ujarnya.

Tambahnya, sedangkan sebelum ini sekiranya calon yang bertanding di negara terbabit terpalit dengan skandal, sudah tidak melayakkan calon berkenaan untuk dipilih sebagai calon Presiden Amerika.

Sebaliknya kali ini katanya yang juga anggota exco kerajaan negeri, Trump tetap dipilih sebagai  calon Presiden Amerika.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengulas kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika yang baru hari ini ketika ditemui selepas majlis penyampaian peralatan input pertanian di Pejabat Pertanian Negeri, di sini hari ini.

Trump mengalahkan Clinton dengan undi electoral 276 – 218 9 November lalu.

Trump juga membuat kejutan apabila memenangi kawasan-kawasan penting di negara itu seperti Florida, North Carolina dan Ohio.

Jelasnya, sewaktu kempen baru-baru ini, pendedahan skandal khususnya yang berkaitan wanita telah didedahkan, namun ternyata ia tidak memberi kesan.

Tambahnya, kemenangan itu turut memberi gambaran sebenar masyarakat negara terbabit. – HARAKAHDAILY 11/11/2016

Share on Myspace