Kaji semula penyertaan Malaysia dalam TPPA

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa kerajaan agar mengkaji semula penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA). Ketidaktentuan dasar dan polisi perdagangan bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan penolakan beliau ke atas TPPA sebelum ini jelas menimbulkan keraguan sama ada ia akan di teruskan atau tidak. Apa yang digusarkan sekarang, bagaimana TPPA yang sememangnya berat sebelah memihak kepada AS akan terlaksana dengan berkesan dan adil di bawah pentadbiran Presiden baru kelak?

Ketika berkempen, jelas dilihat Donald Trump menentang kuat TPPA dan apa jua bentuk perjanjian perdagangan bebas. Beliau menyifatkan TPPA sebagai menghancurkan sektor perkilangan AS, mewujudkan lambakan barangan import yang murah terutama dari Asia, pengucupan sektor ekonomi domestik AS, pemindahan operasi syarikat AS ke luar negara disebabkan kos yang murah serta kesukaran rakyat AS mendapat pekerjaan akibat kemasukan pekerja asing yang mudah.

DPPM merasakan kerajaan sepatutnya melihat reaksi dunia terhadap kemenangan Donald Trump terutamanya reaksi sektor ekonomi dan kewangan sedunia. Rata-rata bersikap negatif terhadap kemenangan beliau, majoriti bursa di serata Asia mengalami kejatuhan hampir 5 peratus dan matawang Mexico mengalami kejatuhan paling teruk dalam tempoh 20 tahun. Pasaran bursa di serata Eropah turun naik akibat sikap berhati-hati dengan ketidaktentuan polisi perdagangan bakal Presiden baru AS.

Lihat bagaimana reaksi kegusaran sektor ekonomi Mexico apabila Donald Trump diumumkan sebagai pemenang, matawangnya jatuh menjunam. Kegusaran itu disandarkan kepada ucapan beliau ketika berkempen seperti akan dikenakan cukai bagi penghantaran wang pulang oleh pekerja Mexico di AS, semakan semula Nafta yang semenangnya sudah berat sebelah serta pembinaan tembok di sempadan AS-Mexico yang wang pembinaannya akan dikutip dari cukai baru yang akan dikenakan ke atas pekerja Mexico yang bekerja di AS. Ucapan tersebut mengundang reaksi negatif Kerajaan Mexico yang mempunyai hubungan yang baik dengan pentadbiran Barrack Obama.

DPPM berharap kerajaan mempertimbangkan dengan sewajarnya penyertaan Malaysia dalam TPPA atau menarik keluar Malaysia dari perjanjian tersebut. Ketidaktentuan dasar dan polisi Donald Trump akan menyukarkan lagi perjalanan TPPA nanti. Dengan iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, sebarang perubahan terhadap dasar TPPA oleh AS di bawah pentadbiran baru kelak dikhuatiri akan mengganggu perjalanan serta pertumbuhan ekonomi negara serta mengikat Malaysia dalam satu struktur ekonomi yang berat sebelah dan tidak menguntungkan negara.

Kerajaan seharusnya berusaha mengukuhkan sektor ekonomi domestik yang agak lembap, mengukuhkan lagi perdagangan sesama negara-negara Asean ataupun memperbaiki hubungan dagang dengan negara-negara Eropah, Timur Tengah dan juga Afrika yang mana masih banyak pasaran ekonomi masih belum diteroka serta mampu memberi manfaat kepada negara. Kerajaan juga perlu memperkemaskan pentadbiran negara agar tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan seperti yang berlaku sekarang. Perkasakan ekonomi negara, jangan biarkan ia tergadai lagi.

 “Bertekad Melebar Muafakat"

"Inilah Penyelesaian Kita"

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
11 November 2016 | 11 Safar 1438 – HARAKAHDAILY 11/11/2016

Share on Myspace