NGO R nafi terbabit serah memorandum Orang Asal

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Pertubuhan R Kelantan (Royalti) menafikan terbabit pada perhimpunan menyerah memorandum isu Orang Asal kepada kerajaan negeri semalam.

Presidennya Nazri Deraman berkata R tidak terlibat pada perhimpunan tersebut biarpun ada peserta yang memakai baju berlogo R.

“Itu tidak boleh dikatakan mewakili R dalam perhimpunan di Kota Darulnaim tersebut. Baju R sebenarnya boleh dibeli di kedai-kedai.

“Tumpuan kami isu asas penubuhan R iaitu perjuangan menuntut royalti, hak pendaratan gas dan tuntutan agar Kelantan turut diberikan peluang untuk membangunkan industri petrokimia.

“Di samping turut memberikan perhatian dalam bidang kebajikan,” katanya di sini.

Semalam ada seorang peserta yang disebut mewakili Royalti Malaysia dilihat memakai baju berlogo R ketika perhimpunan menyerah memorandum kepada kerajaan negeri.

Peserta terbabit sekarang dikatakan aktivis Parti Amanah Negara (PAN) dan sebelum ini pernah terbabit dengan R.

Oleh itu Nazri menegaskan R tidak terlibat dan tidak dilibatkan dalam penyediaan memorandum tuntutan berkaitan masyarakat Orang Asal di pedalaman Kelantan.

“Kami tidak dijemput, tidak pernah mengadakan mesyuarat dan perbincangan mengenai perkara tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau yakin kerajaan negeri telah mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga kepentingan Orang Asal. – HARAKAHDAILY 11/11/2016

Share on Myspace