Trump akan menjadi musuh kepada keamanan dunia?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (Mapim) menjangka akan berlaku perubahan besar dalam dasar luar Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden barunya, Donald Trump.
 
Menurut Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid, sikap beliau jelas mengutamaan kekuatan ketenteraan AS untuk memaksa semua negara tunduk kepada AS.
 
Katanya, kenyataan Trump bahawa dia akan memastikan kekuatan tentera AS di seluruh dunia akan diperkukuh dan tidak ada sebarang negara yang berani mencabar atau menghalang kehendak AS, bermakna AS akan menonjolkan kedudukannya sebagai polis dunia.
 
"'America first' adalah gambaran bahawa apapun kepentingan dunia mesti meletakkan kepentingan AS diatas segala-galanya. Keamanan akan menjadi mangsa kepada keegoaan AS," katanya kepada Harakahdaily.
 
Tambahnya, kali ini dasar AS mengenai Iran, Korea Utara dan China akan disemak semula untuk mengekang potensi AS dicabar.
 
Tegas Azmi, dasar melihat negara lain sebagai musuh serta China sebagai pesaing dan mengisytiharkan semula "paksi kejahatan" dunia berada di negara lain dari AS adalah dasar yang akan digunakan untuk mengancam mana-mana negara yang tidak sealiran dengan AS.
 
"Trump jelas akan memberi sokongan kepada semua kehendak Israel kerana kemenangannya disokong dan didalangi oleh Zionis Yahudi di Rumah Putih sepenuhnya. Israel yang meneruskan agenda pencerobohan dan penindasan ke atas warga Palestin di Gaza dan di Tebing Barat," jelasnya.
 
Trump telah menyatakan pendiriannya menyokong Jurusalem sebagai ibu negara Israel, katanya ini bermakna agenda Israel Raya (Greater Israel) akan mendapat dokongan penuh daripada  AS.
 
Ujarnya, seluruh kekuatan tentera Israel akan pasti menjadi keutamaan Trump kerana negara-negara Arab yang menjadi sekutu AS akan dipaksa tunduk kepada Israel.
 
"Kami menjangka sikap rasis dan prejudis beliau terhadap Islam dan orang Islam akan diterjemahkan dalam dasar beliau mengenai isu pendatang dan pelarian pelbagai mangsa konflik di Timur Tengah dan di negara lain," katanya.
 
Justeru, tegas beliau Malaysia tidak harus merayakan kemenangan Trump dengan ucapan tahniah dengan harapan mengeratkan perhubungan sebaliknya kewaspadaan terhadap AS perlu ditunjukkan kerana AS kini bukan lagi rakan yang selamat untuk mana-mana negara.
 
Trump menolak TPPA kerana beliau mahu kepentingan AS dijamin secara mutlaq, dengan TPPA dilihat tidak cukup kuat menjamin kepentingan semua  konglomerat AS.
 
"Trump dijangka akan mengatur semula semua terma perdagangan dunia mengikut telunjuk AS. Ekonomi kapitalisme AS akan diperkukuhkan oleh Trump yang akan menjadi asas bagi mengeksploitasi semua negara lain," tambah beliau. – HARAKAHDAILY 11/11/2016

Share on Myspace