Filipina dan kestabilan wilayah Islam Mindanao

Zaiem Al-Hilmee | .

Selatan Filipina atau Mindanao menjadi satu fokus dalam peta umat Islam di Asia Tenggara. Bumi yang pernah bergolak menyaksikan perlawanan umat Islam yang telah memakan korban kira-kira 150,000 umat Islam Mindanao semenjak perlawanan berkonflik dengan kerajaan Filipina dari zaman Presiden Ferdinand Marcos era 70-an.

Cetusan dari konflik ini, wujudnya gerakan pembebasan wilayah Mindanao yang memimpin rakyat wilayah tersebut iaitu Gerakan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang dipimpin oleh Prof Nur Misuari, pensyarah Universiti of Filipina dan pecahnya MNLF sehingga tertubuhnya Gerakan Pembebasan Islam Mindanao (MILF) yang dipimpin Hashim Salamat dan kini Dr Murad Ebrahim.

Setelah konflik yang berpanjangan, perjanjian demi perjanjian damai termasuklah perjanjian Tripoli hasil sokongan damai negara luar OIC termasuk Arab Saudi, Libya dan Malaysia memainkan peranan dalam mencari kestabilan di Selatan Filipina. Perjanjian komprehensif 1996 dan perjanjian damai pada tahun 2014 dengan Presiden Benigno Aquino III menjadi titik berharga antara kerajaan Filipina dan MILF untuk menamatkan dan memikirkan ke arah keamanan dalam wilayah tersebut yang kini dikenali sebagai wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM) yang dipimpin oleh seorang gabenor.

Wilayah autonomi Muslim Mindanao-ARMM yang memiliki 5 bahagian iaitu Basilan, Lanao De Sur, Maguindanao, Sulu dan Tawi-Tawi mempunyai populasi kira-kira 3 juta penduduk Islam. Sehingga kini, peranan Malaysia masih diperlukan sebagai pemantau dalam membantu kestabilan wilayah tersebut.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang baru memegang tampuk pemerintahan dilihat lebih terbuka kepada Muslim Mindanao kerana mempunyai hubungan lama dengan pimpinan MNLF, Nur Misuari. Kehadiran Nur Misuari dari kawasan persembunyiannya ke Istana Malacanang di Manila baru-baru ini akan memberi peluang cerah untuk digugurkan waran tangkap ke atasnya yang dikeluarkan oleh kerajaan Filipina dahulu.

Tambahan, Duterte yang agresif dalam hubungan luar semakin lantang menongkah arus terhadap US yang begitu mempengaruhi corak pentadbiran kerajaan Filipina sebelum ini. Buktinya, Filipina mula cenderung ke arah China dan Rusia memilih untuk membeli aset pertahanan dan latihan bersama dan mengkritik US yang disifatkan mencampuri urusan dalaman negara soal pembanterasan jenayah dadah. Ini sekaligus cubaan Filipina menamatkan pengaruh US ke atas negara tersebut.

Isu serantau dalam tuntutan Filipina ke atas Sabah dan pencerobohan negeri dari kalangan kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Jolo dan sehingga kini hampir memperolehi RM30.3 juta hasil wang tebusan terhadap siri-siri penculikan kini dilihat dalam proses penyelesaian. Tindakan Filipina yang membenarkan Malaysia memasuki perairan dengan kerjasama angkatan pertahanan laut Filipina dan rancangan Filipina membuka pejabat konsulat Filipina di Sabah sebagai langkah komprehensif terhadap menjaga penduduk Muslim Mindanao yang bermastautin di Sabah dan ia adalah sebagai jaminan dalam memelihara hubungan diplomatik Malaysia-Filipina.

Tidak dinafikan, survival kehidupan umat Islam di Selatan Filipina kini lebih baik setelah misi perdamaian dijalankan dan ia menjadi suatu titik tolak selagi adanya toleransi bersama antara Manila-Mindanao, wilayah Selatan Filipina yang pernah menjadi pusat pemerintahan kesultanan Islam Sulu suatu masa dahulu akan mengecapi keamanan berpanjangan. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace