Penjelasan notis 'sewa atas sewa' PPR Kota Damansara

HARAKAHDAILY | .

Memang benar seperti laporan media bahawa Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) telah memberi notis keluar kepada penduduk PPR Kota Damansara yang menyewa dari penyewa yang sah atau mereka yang “sewa atas sewa”.

Terdapat pihak yang menggesa agar mereka ini dibenarkan menyambung sewaan dari penyewa yang sah.
 
Kerajaan negeri berpandangan adalah tidak adil untuk memindahkan kontrak sewaan kepada mereka memandangkan terdapat ramai yang masih menunggu untuk menyewa di PPR tersebut.

Menyewakan kediaman kepada pihak ketiga dan “sewa atas sewa” adalah menyalahi peraturan sewaan di PPR itu dan PPR-PPR lain di Selangor.

Adalah tidak adil untuk memberi peluang kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan walhal mereka yang sabar menunggu giliran mereka diabaikan.

Kerajaan negeri tidak boleh membiarkan mereka yang “sewa atas sewa” memintas giliran mereka yang berada di dalam senarai menunggu.

Walau bagaimanapun kerajaan negeri akan cuba membantu mereka yang diberikan notis keluar untuk mendapatkan kediaman lain tetapi kekosongan di PPR-PPR lain adalah amat terhad.

Datuk Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor.

Share on Myspace